Animal Malaysia Tawar RM5,000 Siapa Dapat Berikan Maklumat Suspek Panah Biawak Dan Monyet
2 min read
Adakah dunia semakin berakhir, semangat kemanusiaan pun semakin menyusut??
Sejak dua tiga hari tular video yang menunjukkan seekor monyet yang cedera akibat dipanah dan biawak yang mati disebabkan perbuatan yang sama.
Difahamkan monyet berkenaan berlegar-legar dengan anak panah masih tertusuk di bahagian ekornya.
Sekarang, Persatuan Haiwan Liar Malaysia (Animal Malaysia) membuka tawaran dengan hadiah RM5,000 untuk individu yang dapat berikan maklumat berkaitan kejadian kekejaman itu yang berlaku di Taman Rimba Kiara dekat Taman Tun Dr Ismail, Sabtu lepas.
BACA JUGA – Laporan Khas : Perbadanan Produktiviti Malaysia Frontliners Produktiviti Negara
Kalau baca berita di portal Harian Metro Online, Presiden Animal Malaysia Arie Dwi Andika berkata, pihaknya menerima maklumat awam melalui media sosial selepas tular gambar serta video kecederaan haiwan berkenaan akibat dipanah.
“Difahamkan, seekor monyet dan seekor biawak mati akibat kejadian itu, manakala seekor lagi monyet dilaporkan cedera akibat dipanah individu tidak bertanggungjawab.
“Berdasarkan video diterima, kami yakin ada individu bersama pemanah berkenaan yang merakam kejadian terbabit sebelum rakaman itu ditularkan di media sosial.
“Justeru, kami menawarkan wang tunai RM5,000, sijil penghargaan serta cenderahati kepada individu yang menyalurkan maklumat lengkap daripada peringkat mengenal pasti pemanah hingga dia (pelaku) dijatuhkan hukuman,” katanya ketika Harian Metro menghubungi beliau, semalam.
Arie berkata, pihaknya difahamkan monyet yang mengalami kecederaan itu masih mempunyai anak panah tertusuk pada badannya.
“Ada pihak cuba mengubati monyet berkenaan, namun usaha terbabit gagal kerana ia melarikan diri dalam keadaan anak panah masih berada di badannya.
“Kami amat memandang serius terhadap isu penganiayaan haiwan tanpa sebab ini dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.
“Orang ramai diminta jangan bertindak melulu dengan melakukan kekejaman terhadap haiwan terutama kepada haiwan dilindungi, yang tersenarai Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.
Kepada anda yang tahu siapa punya angkara ni, eloklah tampil dan berikan maklumat supaya kekejaman dia dapat diberikan hukuman sewajarnya. – Sepatah Dua