PM Sampaikan Perutusan Khas Kemerdekaan Ke-63 Dari Stadium Merdeka
2 min read
Dalam Perutusan Khas Hari Kebangsaan ke-63 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini, beliau mengambil semangat daripada Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra 63 tahun lepas pada tahun 1957 ketika beliau mengumumkan pengisytiharan kemerdekaan Malaysia.
Perutusan khas yang disampaikan sebentar tadi juga amat berbeza apabila beliau berdiri di tempat yang sama Tunku Abdul Rahman berdiri ketika berucap pada hari kemerdekaan itu iaitu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
“Saya berdiri di sini pada hari ini di suatu tempat yang amat bersejarah. Di sinilah 63 tahun yang lalu, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, mengisytiharkan pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu.
BACA JUGA – Kuala Lumpur dan Putrajaya Negeri Paling Dilawati Tahun 2019
“Pada pagi tanggal 31 Ogos 1957, di tempat yang amat bersejarah ini, Almarhum Tunku dengan disaksikan puluhan ribu rakyat yang berbilang kaum dan agama mengisytiharkan Persekutuan Tanah Melayu,” katanya.
Muhyiddin turut memetik baris ucapan ulung Tunku Abdul Rahman ketika pengisytiharan kemerdekaan itu.
“Dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta’ala akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulatserta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.
“Inilah yang diungkapkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, disusuli dengan laungan keramat ‘Merdeka!’,” katanya.
Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata Malaysia telah menempa kejayaan dan kemajuan sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dari sebuah negara yang mundur pada satu ketika dahulu, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata Malaysia turut berdepan cabaran yang besar untuk terus dibangunkan untuk menjadi sebuah negara maju, yang hasilnya nanti akan dinikmati seluruh rakyat.
Perdana Menteri berkata, kemajuan bukan hanya sekadar pertumbuhan ekonomi, indeks bursa saham, jumlah pelaburan langsung asing dan domestik, tetapi sumber pendapatan dan kualiti hidup rakyat.
“Angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila saudara-saudari mempunyai sumber pendapatan mencukupi, kediaman selesa, pendidikan sempurna, kesihatan baik, alam sekitar lestari dan keselamatan sentiasa terpelihara untuk menjalani kehidupan yang bahagia dan sejahtera.
“Saya tahu, tidak semua rakyat di negara ini bernasib baik. Ada yang terpaksa melakukan dua tiga pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin mengakui, ramai dalam kalangan rakyat tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk meneruskan kehidupan, sekiranya terputus mata pencarian.
Beliau berkata, mungkin ada sebahagian daripada rakyat mampu bertahan selama satu atau dua bulan, tetapi terpaksa berhutang dan bergolok bergadai untuk hidup, jika situasi itu berlarutan.
“Saya sedar tentang perkara ini. Kerana itu, ketika wabak COVID-19 mula melanda negara dan sektor ekonomi ditutup, perkara pertama dilakukan kerajaan ialah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.
“Kita sediakan Bantuan Prihatin Nasional, morotarium bayaran pinjaman bank, bantuan kemudahan khas untuk perusahaan kecil dan sederhana, subsidi upah dan lain-lain bentuk bantuan berjumlah RM260 bilion, keseluruhannya untuk meringankan beban ditanggung rakyat.
“Alhamdulillah, pelbagai bantuan disediakan sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat di waktu susah,” ujarnya.
Esok, Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-63. – Sepatah Dua