Malaysia Tourism Excellence : RNR Adventures Sedia Bawa Anda Ikuti Cabaran Eksplorasi Gua Batu Maloi
4 min read
Masuk gua dan menjelajah laluan di dalamnya kini sudah menjadi makin popular di Malaysia. Bagi penggemar aktiviti ini atau juga dikenali sebagai caving, menerobos laluan sempit, terpaksa merangkak dan meredah air sungai di dalam gua menjadi satu pencetus adrenalin dan keseronokan kepada mereka.
Tambahan pula, apabila dapat melihat bentuk batuan-batuan yang cantik yang terbentuk hasil titisan air di dalam gua mempersonakan sesiapa sahaja yang masuk dan meneroka khazanah alam sekitar yang amat berharga ini.
Di Malaysia, lokasi-lokasi popular biasanya yang ada gua terkenal ialah di Sarawak dengan Gua Mulu dan Gua Niah, di Perak dengan Gua Tempurung, di Pahang dengan Gua Kota Gelanggi dan di Kedah dengan Gua Kelambu.
Di Negeri Sembilan pun ada gua kalau anda tak tahu dan ia menempatkan gua antara yang unik di Malaysia iaitu Gua Batu Maloi.
BACA JUGA – Apakah Itu Adventure Tourism?

Terletak di Johol, Negeri Sembilan dan ia dikatakan menjadi idaman si kaki peneroka gua dek laluannya yang mencabar kerana perlu merentasi ruang sempit di celahan batu yang bertindih antara satu sama lain.
Gua ini terletak di tengah lembah di antara penghujung Banjaran Titiwangsa iaitu Gunung Datok dan Gunung Tampin di kawasan Taman Eko Rimba Batu Maloi di Kampung Tanggai.
Seorang daripada operator yang menjalankan aktiviti membawa peneroka gua masuk ke dalam gua ini ialah satu daripada kumpulan pengusaha yang mendapat pengiktirafan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) di bawah Tourism Productivity Nexus (TPN) disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Bagi Nor Rashihah, impian besarnya untuk RNR ialah untuk membuka satu tapak kem sendiri di tepi sungai untuk menjadi pusat sehenti yang akan menyediakan lebih banyak tarikan dan aktiviti untuk penggemar pelancongan lasak.
Pemilik Rashihah Nordin Resources (RNR) Adventures, Nor Rashihah Mohd Nordin menyediakan perkhidmatan membawa anda masuk ke gua ini yang perjalanannya akan mengambil masa sekitar empat jam.
Beliau amat komited kerana gua berkenaan beliau anggap sebagai gua kesayangannya.
Bercerita tentang titik mula RNR, beliau mula belajar dan membawa pengunjung masuk ke dalam Gua Batu Maloi sebagai jurupandu atau guide pada 2007 hingga 2014 apabila kemudian mendaftarkan RNR pada tahun berikutnya.
Pada mulanya, RNR hanya menyediakan perkhidmatan membawa pengunjung untuk mengadakan aktiviti sukan air seperti rafting dan kayak di sekitar Perak.

“Ketika Disember 2014, banjir besar di Pantai Timur dan Perak, pada masa itu ada yang beritahu pada saya ada satu gua dekat Johol dan saya dapati ia adalah satu gua yang amat menarik,
“Awalnya, saya hanya hendak bantu menjual pakej seorang operator bagaimanapun kemudian dia menjemput saya untuk menjadi fasilitator dan dari situlah saya belajar tentang gua iaitu Gua Batu Maloi dan kemudian menyediakan pakej menjelajah Gua Batu Maloi secara sendiri,” katanya.





Pada tahun lepas, RNR mendapat penarafan pensijilan MaTEx di bawah kategori Adventure Tourism.
Bercakap tentang MaTEx, Nor Rashihah berkata pada mulanya pengunjung tidak mengambil kisah tentang penarafan berkenaan atau tentang kepentingannya tetapi apabila beliau memaklumkan kepada mereka tentang MaTEx orang ramai dapat diberi pendedahan betapa perlunya penarafan sedemikian untuk pemain industri.

Katanya, apabila bercerita dengan bakal pelanggan tentang pakej yang ditawarkan oleh RNR, pensijilan MaTEx membuatkan dirinya lebih yakin.
Beliau menganggap pensijilan MaTEx adalah satu perkara penting dan berharap untuk memperolehinya di masa akan datang ia mampu untuk dimohon oleh para pemain industri khususnya pengusaha pelancongan kecil dan sederhana.
“Apabila ia mampu milik, nanti barulah pengusaha kecil dan sederhana mampu memberikan perkhidmatan dengan kualiti yang sewajarnya lengkap dengan keutamaan aspek keselamatan serta prosedur standard (SOP),” katanya.
Bagi pengusaha industri pelancongan khususnya pelancongan lasak atau Adventure Tourism, beliau amat menggalakkan mereka untuk memohon untuk mendapat pensijilan MaTEx kerana ia benar-benar membantu memperbaiki cara operasi untuk menjadi lebih teratur dan sistematik.
Antara kumpulan yang sudah dibawa oleh Nor Rashihah ke dalam Gua Batu Maloi ialah pelajar kolej, kelab rekrasi, kumpulan dari Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), kumpulan dari Kelab Rekreasi Media Prima dan dari Akademi Laut Malaysia (ALAM).
Bagaimanapun, kini gua berkenaan masih ditutup ekoran pandemik COVID-19.
Mengulas tentang tarikan pengunjung untuk pakej yang disediakan RNR, pakej penerokaan Gua Batu Maloi merupakan yang paling mendapat tarikan dari para pelanggannya dan kini banyak pihak mencari RNR untuk mendapatkan pakej berkenaan.
Bagi Nor Rashihah, impian besarnya untuk RNR ialah untuk membuka satu tapak kem sendiri di tepi sungai untuk menjadi pusat sehenti yang akan menyediakan lebih banyak tarikan dan aktiviti untuk penggemar pelancongan lasak.
“Seperti rakan-rakan yang ada di Gopeng yang memiliki tapak kem, mereka menjadi inspirasi kepada saya untuk melakukan perkara yang sama pada masa akan datang,” katanya.
Selain meneroka Gua Batu Maloi, beliau turut membawa pengunjung yang berminat untuk melakukan selaman bebas atau free diving tanpa memakai peralatan oksigen, pakej untuk aktiviti perkhemahan dan kembara hutan.
Selain itu, beliau juga memasang impian untuk ada pasukan kakitangannya sendiri.
Impian Nor Rashihah paling istimewa ialah beliau mahu mereka yang mengikuti pakej bersama RNR Adventures berasa bangga dengan jenama berkenaan seperti apa yang dirasakan oleh seseorang apabila menggunakan sesuatu jenama yang terkenal.
Beliau berkata, dek kerana minatnya kepada alam sekitar serta kesukaannya dengan aktiviti pelancongan lasak atau pelancongan kembaraan membawa dirinya menceburkan diri menjadi seorang daripada pemain industri pelancongan di negara ini. – Sepatah Dua