September 24, 2023

Kita Bangga, Penyerang Malaysia Mokhtar Dahari Antara Tiga Penjaring Terbanyak Dunia

2 min read

Siapa di antara kita yang tahu dari awal bahawa bekas penyerang bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari merupakan penyerang handal peringkat dunia bukan sahaja pada zamannya tapi sampai sekarang.

Beberapa hari lepas, ketika berita pemain Portugal Cristiano Ronaldo tular ekoran dia berjaya menjaringkan lebih 100 gol di peringkat antarabangsa muncul nama Datuk Mokhtar dalam senarai jaringan gol dunia sepanjang zaman di tempat ketiga.

Statistik berkenaan dikeluarkan di saluran berita antarabangsa CNN.

Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dikedudukan ketiga di atas Ferenc Puskas dalam senarai penjaring terbanyak gol di peringkat antarabangsa sepanjang zaman.

Mungkin sedikit ada yang tahu, tapi pasti ramai yang tak tahu.

Allahyarham Datuk Mokhtar menjaringkan 86 gol sepanjang beliau beraksi mewakili Malaysia.

Di tempat paling atas ialah penyerang Iran, Ali Daei dengan 109 gol.

BACA JUGA – Dwayne Johnson Sudah Hampir Setaraf Tom Cruise

Jumlah jaringan Datuk Mokhtar lebih banyak daripada jaringan yang dihasilkan oleh pemain Argentina dan Barcelona, Lionel Messi pada peringkat antarabangsa iaitu hanya 70 gol.

Rekod itu juga lebih baik berbanding dua legenda dunia, Pele (Brazil) dan Diego Maradona (Argentina) yang dianggap pemain terbaik sepanjang zaman.

Mengikut laporan berita di portal Harian Metro, anak lelaki Allahyarham Mohd Reza turut terkejut dan tidak sangka ayahnya ada antara penyerang paling hebat di dunia.

“Sejak statistik itu keluar, ramai yang hantar tunjuk ayah saya dalam senarai tiga penjaring terbanyak perlawanan antarabangsa, memang mengejutkan.

“Saya sendiri tak tahu berkenaan jumlah gol itu dan paling terkejut antara tiga pemain terbaik dunia. Tapi tetap berbangga kerana itu menunjukkan pencapaian ayah sentiasa dikenang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Datuk Mokhtar menerima cap penampilan pertama di peringkat antarabangsa ketika berusia 19 tahun pada tahun 1972 dalam perlawanan menentang Sri Lanka.

Dia adalah antara penyerang yang digeruni pada lewat 70-an dan 80-an kerana kebolehan luar biasa melakukan jaringan.

Pencapaian gemilang tonggak kelahiran Kuala Lumpur itu sudah tentunya ketika membantu Malaysia meraih pingat gangsa di Sukan Asia Tehran, Iran pada 1974 selain memenangi Pesta Bola Merdeka sebanyak empat kali 1973, 1974, 1976 dan 1979.

Arwah turut beraksi di Sukan Sea dengan membantu pasukan kebangsaan merangkul pingat emas di temasya yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1977 dan Indonesia pada 1979.

Sementara itu, di peringkat domestik, Mokhtar banyak menghabiskan kariernya bersama pasukan Selangor dari 1972-1987 dan menjaringkan 218 gol buat Red Giants dalam 375 penampilan.

Kejayaan Selangor menjulang Piala Malaysia sebanyak 10 kali juga adalah hasil sentuhan Allahyarham. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *