September 26, 2023

Malaysia Tourism Excellence : Mr G Pentingkan Interaksi Baik Dengan Pelanggan Di The Hideout

5 min read

Minat dengan aktiviti lasak kadangkala mungkin membawa seseorang itu keluar dari kepompong gaya hidup yang lama sebelum kemudiannya menceburkan diri dalam minat berkenaan sehingga ada gaya hidup yang baru setiap hari.

Mungkin itu yang berlaku kepada Gurnam Singh Dhaliwal iaitu seorang yang meminati aktiviti pelancongan lasak atau adventure tourism sejak awal lagi, bekerja dalam bidang sama sehingga membuat keputusan berhenti dan kini merupakan Pemiilik lokasi perkhemahan The Hideout di Gopeng yang beroperasi di bawah syarikat Outdoor Geeks Products and Services (Outdoor Geeks)

Mr G bersyukur kerana dek adanya MaTEx, banyak pemain industri pelancongan yang dulunya tidak begitu mementingkan pentingnya operasi yang sistematik kini meletakkan soal itu sebagai elemen utama disamping mampu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) syarikat.

Daerah Gopeng sememangnya menjadi lokasi banyak syarikat operator yang menyediakan peralatan serta membawa pengunjung untuk melakukan pelbagai aktiviti pelancongan lasak seperti kembara hutan, Whitewater Rafting, berkayak, tubing, perkhemahan dan perkelahan.

Outdoor Geeks merupakan sebuah syarikat yang diberikan pensijilan di bawah Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) oleh Tourism Productivity Nexus (TPN) disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

BACA : Sesi MyVXp Min House Camp Buat Penonton Teruja Madu Dan Makan Lokan Bakar

Ketika bertemu dengan Gurnam Singh atau lebih mesra dipanggil Mr G, beliau berkata The Hideout sudah pun bertapak di tepi Sungai Kampar di Gopeng sejak lima tahun lepas tetapi pada peringkat awal, ia lebih khusus kepada lokasi perkhemahan untuk pelajar-pelajar sekolah antarabangsa sahaja.

Gurnam Singh Daliwal di dalam Sungai Kampar di depan tapak perkhemahannya di The Hideout di Gopeng.
Mr G memerhatikan papan tanda The Hideout besar di tepi Sungai Kampar yang baru siap dibina sendiri.

“Semenjak kira-kira dua tahun lepas, kami dah mula buka tapak perkhemahan ini untuk orang ramai,” katanya.

Apa yang unik tentang tapak perkhemahan The Hideout lagi ialah landskap yang ada bertemakan pokok buluh di sekeliling tapak kem ialah hasil kerja tangan Mr G sendiri yang gemar berkebun dan menghasilkan jajaran halamannya sendiri.

Oleh sebab itu, satu dari jawatan yang beliau katakan di The Hideout ialah sebagai tukang kebun.

Deretan rimbun buluh yang ditanam sendiri Mr G seakan-akan menjadi pagar di sekeliling The Hideout di Gopeng.

Selain itu, beliau amat pentingkan hubungan dan interaksi dengan para pelanggannya yang datang ke The Hideout.

Baginya, sekurang-kurangnya dua kali beliau mesti menyapa, berbual dan bertanyakan respon mereka tentang tapak perkhemahan berkenaan.

Bercakap tentang awal perkenalan beliau dengan MaTEx, Mr G berkata pensijilan itu diketahuinya melalui perbualan dengan rakan-rakan yang juga menceburi bidang sama iaitu akiviti pelancongan lasak.

Menurut beliau, baginya pensijilan MaTEx adalah sangat penting kerana industri pelancongan lasak amat subjektif dari segi aspek keselamatan. Bagi pengunjung, jika sudah berasa selamat mereka akan pergi dan mencuba untuk menjalankan aktiviti dengan syarikat berkenaan.

Mr G mengamalkan amalan guna semula bungkusan dan botol plastik dengan mengumpulnya sebelum ia akan dihantar ke pusat pengumpulan sebaik tempat mengutip bahan itu di tapak The Hideout penuh.

“Dari segi aspek keselamatan sebenarnya, tak ada sesiapa yang boleh mengesahkan itu, dengan MaTEx barulah aspek keselamatan benar-benar akan dinilai secara keseluruhannya termasuk aspek operasi sebelum menerima pensijilan berkenaan,

“Untuk perniagaan, ia amat bagus, kemudian ia boleh menangani masalah persepsi orang ramai yang selama ini menganggap syarikat yang mengendalikan aktiviti pelancongan lasak hanyalah syarikat yang sambil lewa dan bila ada masa lapang, orang ramai hanya pergi dan jalankan aktiviti.

“MaTEx akan mematikan persepsi ini dan ia akan memberikan pendedahan kepada orang ramai bahawa pentingnya pensijilan seumpama itu,” katanya.

Beliau berharap pensijilan MaTEx akan setaraf pensijilan negara lain kerana di Barat khususnya, orang ramai sudah menganggap syarikat pelancongan lasak sebagai satu kerjaya yang profesional dan bukan sekadar tangkap muat.

Mr G bersyukur kerana dek adanya MaTEx, banyak pemain industri pelancongan yang dulunya tidak begitu mementingkan pentingnya operasi yang sistematik kini meletakkan soal itu sebagai elemen utama disamping mampu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) syarikat.

Berbekalkan pengalaman pernah bekerja dengan syarikat aktiviti pelancongan lasak yang sudah ada pensijilan antarabangsa ISO:9001, Mr G amat menggalakkan para pemain industri pelancongan di negara ini untuk memohon pensijilan MaTEx kerana ia amat penting untuk operasi syarikat selain memberikan keyakinan kepada orang ramai tentang perkhidmatan yang diberikan.

Plak Malaysia Tourism Excellence dipamerkan di ruang utama The Hideout di Gopeng beserta sijil pengiktirafan MaTEx yang diberikan oleh Tourism Productivity Nexus (TPN) dan disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Pensijilan MaTEx untuk syarikat Mr G ialah untuk Outdoor Geek yang menyediakan perkhidmatan aktiviti pelancongan lasak di Gopeng seperti Whitewater Rafting di Sungai Kampar, kembara hutan dan juga eksplorasi gua di Gua Kandu dan Gua Tempurung serta operasi mengendalikan The Hideout.

Jika berkhemah di The Hideout, anda boleh mencuba untuk merasai pengalaman G Slide iaitu gelongsor kain kanvas yang direntangkan di tebing sungai dan diletakkan sedikit air sabun dan anda boleh slide terus ke dalam sungai.

https://www.facebook.com/hide.learn.live/videos/673194603553397
Keseronokan dengan The G Slide.

Menurut Mr G, gelongsor yang dinamakan G Slide itu adalah idea daripada anak-anaknya.

Lokasi The Hideout yang betul-betul di tepi sungai juga agak strategik kerana tidak ada batu yang banyak untuk anda menuruni sungai dan sungai di kem Mr G juga agak dalam jadi ia selesa untuk mandi-manda.

Beliau juga amat mementingkan kebersihan tandas di The Hideout dengan tandas-tandas serta kemudahan untuk mandi amat bersih dan dicuci dengan kerap supaya para pelanggan selesa menggunakannya serta sentiasa berpuas hati.

Lorong masuk untuk ke tandas di lokasi The Hideout juga nampak menarik dengan adanya simbol lelaki dan wanita yang unik.
Jika ada banyak kumpulan dan pelanggan yang datang, Mr G biasanya menghadkan kira-kira 50 orang sahaja bagi memastikan keadaan di tapak perkhemahan The Hideout tidak terlalu sesak dan para pelanggannya tidak selesa.

Mr G menghadkan jumlah pelanggan-pelanggannya untuk berkhemah di tapaknya kerana ia bagi memastikan keselesaan semua orang yang berkhemah di situ.

Disamping itu, beliau mahu memastikan beliau mampu menguruskan keperluan setiap orang daripada ambil seberapa ramai yang boleh dan kemudian pelbagai masalah akan timbul seterusnya akan membangkitkan respon negatif daripada para pelanggannya. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *