Akta Racun 1952, Akta Lapuk
1 min read
Lewat ini, kita digemparkan dengan isu berkaitan lambakan ubat yang memerlukan preskripsi dijual dalam pasaran dan mudah untuk mendapatkannya.
Menurut peruntukan undang-undang kita, individu yang didapati membekal atau menjual ubat Kumpulan B tanpa preskripsi, boleh didakwa mengikut Seksyen 32(2) Akta Racun 1952, yang jika disabitkan kesalahan, boleh didenda hanya sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Ini cukup ringan berbanding ‘kekayaan’ yang telah dan sedang dikaut oleh mereka yang cuba berurus niaga dalam bidang ini. Oleh sebab itu, cadangan agar kerajaan mengetatkan undang-undang ini adalah wajar.
Ubat-ubatan di bawah Kumpulan B, merujuk ubat tertentu yang hanya boleh dibeli dari farmasi dengan preskripsi dikeluarkan pengamal perubatan atau pergigian berdaftar atau pegawai veterinar yang menjual atau membekalnya mengikut Seksyen 19.
Oleh sebab itu, apabila terdapat ubat-ubatan sebegini boleh didapati dengan mudah di pasaran, ia suatu perkara yang amat bahaya kepada para pesakit.
Ia bukan sahaja sebuah aktiviti haram, malah tindakan membeli ubat-ubatan Kumpulan B ini menyebabkan para pesakit berhadapan dengan risiko ubat palsu, atau separa palsu.
Sebagai Kerajaan Malaysia, adalah cukup wajar sekiranya undang-undang berkenaan dikaji semula untuk diperketatkan mengikut arus masa yang makin berkembang pesat. – Sepatah Dua