June 1, 2023

Tiada Siapa Terkecuali Risiko Diserang Musuh Tak Nampak

5 min read

Oleh : Sarfarizmal Bin Md Saad

Ada satu peristiwa yang berlaku baru-baru ini, seorang atuk berumur lebih kurang 70 tahun mempunyai 9 orang cucu, baru pulang dari sebuah perhimpunan melibatkan orang ramai di sekitar Lembah Klang. Ini berlaku ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang ini. Apabila sampai di rumah, terlihat kelibat cucu baru tiba dari Johor Bahru datang ke rumahnya. Konon terlalu sayangkan cucu, dipeluk cium cucu itu sebelum atuk berkenaan sempat mencuci diri.

Konon pada fikirannya dia tidak bergejala Covid-19 dan pertalian darah antara anak, ibu, bapa, cucu, atuk tidak akan berjangkit jangkitan wabak ini. Akhirnya, cucu berusia 11 bulan disahkan positif Covid-19 selepas seminggu berikutnya.

Ia juga sama kes yang berlaku terhadap dua orang rakan yang sudah lama tidak bertemu. Secara kebetulan, mereka bertemu di sebuah kedai gunting rambut yang tidak perlu disebut di kawasan mana. Disebabkan mahu melepaskan rasa rindu yang mendalam, mereka saling berpelukan, berjabat tangan dan berpegangan erat sesama sendiri.

Bagi mereka, tiada jangkitan Covid-19 kerana salah seorang daripada mereka adalah anggota RELA, manakala seorang lagi usahawan online – mana mungkin petugas barisan hadapan dan yang bekerja dari depan komputer atau telefon bimbit boleh dijangkiti wabak maut ini.

Akhirnya, kedua-dua mereka disahkan positif selepas 8 hari kemudian. Bertambah malang, seorang anaknya yang di bawa bersama ke kedai gunting rambut pada waktu itu turut disahkan positif Covid-19.

Pandangan sesetengah rakyat, wabak ini tidak akan berjangkit atau berada dalam tubuh mereka disebabkan tiada sebarang sentuhan dilakukan dengan orang asing atau orang yang tidak dikenali. Hanya bersentuhan dengan darah daging sendiri atau sahabat handai yang dikenali akan hati budi dan sejarah lampau.

Namun ramai lupa, yang dinamakan virus pandemik Covid-19 ini tidak pernah mengenal identiti seseorang. Waima Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri terpaksa dikuarantin selama 14 hari bermula 22 Mei 2020 kerana pernah suatu ketika seorang pegawai tinggi kerajaan yang hadir pada mesyuarat pasca-kabinet di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, disahkan positif Covid-19.

Menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), Perdana Menteri perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai tarikh yang ditetapkan. Malah, semua ahli mesyuarat berkenaan diarahkan menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari yang sama.

Banyak lagi kisah-kisah mengenai kealpaan sesetengah rakyat kita terhadap kepentingan menjaga diri dari melakukan perkara yang berisiko dijangkit wabak ini. Mungkin atas dasar itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berulang kali menasihati kita agar sentiasa membudayakan Norma Baharu dan menjadikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai rujukan utama dalam melakukan aktiviti seharian.

Kita boleh semak dengan mudah, bagaimana Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah seringkali mengingatkan rakyat agar sentiasa mengamalkan Norma Baharu dan mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Pengurusan Tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia setiap hari memantau, merancang dan melaksana gerak kerja memeranggi wabak Covid-19.

Pesan menteri kepada kita

Rasa penulis, hampir setiap kali Dr Adham Baba berucap di mana-mana majlis yang dihadirinya, beliau akan mengingatkan semua agar mengamalkan 3W iaitu wash (cuci tangan), wear (pakai pelitup hidung dan mulut) dan warn (amaran-amaran KKM perlu dipatuh).

Dr Adham dan Dr Noor Hisham juga turut meminta rakyat supaya sentiasa mengelak 3C dalam kehidupan kita. Ia adalah crowded places (tempat sesak), confined spaces (tempat tertutup) dan close conversation (bercakap jarak dekat). Sekiranya kita tidak mampu mengelak dari tiga situasi tersebut, maka amalkanlah SOP mudah yakni dengan mengekalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter.

Tidak kira siapa kita, sama ada rakyat biasa, atau kita tergolong sebagai petugas barisan hadapan, mahupun pemimpin negara, wajar untuk kita amalkan Norma Baharu dan SOP yang telah ditetapkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tidak bermaksud jika kita merupakan petugas barisan hadapan, maka kita ‘kebal’ dari dijangkiti wabak maut ini. Sebab itu, terdapat kes yang dilaporkan positif, ada segelintir dari mereka merupakan anggota Polis, petugas KKM dan anggota keselamatan lain.

Menurut laporan akhbar pada pertengahan Jun 2020, terdapat 416 kakitangan KKM disahkan positif Covid-19, dengan 80 peratus daripada mereka mendapat jangkitan itu dari luar kemudahan kesihatan, manakala kira-kira 20 peratus lagi jangkitan daripada pesakit dan rakan sekerja.

Tidak perlu pergi jauh, lihat sendiri statistik yang berlaku terhadap negara jiran, Indonesia. Menurut Ikatan Doktor Indonesia (IDI) dalam satu kenyataan menyatakan, seramai 109 doktor di Indonesia telah terkorban akibat Covid-19 ini.

Wilayah Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian doktor tertinggi akibat pandemik itu, iaitu seramai 29 orang, diikuti Sumatera Utara (20 orang), Jakarta (13 orang) dan selebihnya di beberapa wilayah lain di Indonesia. Ia bukti bahawa wabak maut ini tidak mengenal siapa mangsanya.

Takut kepada musuh tak nampak

Rakyat kita patut dididik untuk tidak takut kepada kompaun atau denda mahkamah akibat pelanggaran SOP atau arahan pemerintah. Sebaliknya, kita lebih perlu untuk memiliki kesedaran takut terhadap musuh yang tidak nampak ini.

Tidak cukupkah lagi tindakan para penyelidik yang telah menyebarkan gambar virus ini yang telah dibesarkan sebanyak lebih 20,000 kali untuk memberi gambaran kepada kita akan rupa dan bahayanya?

Para penyelidik telah mengamati virus tersebut dengan menggunakan dua jenis mikroskop resolusi tinggi, yakni mikroskop elektron pemindai dan mikroskop elektron transmisi. Keduanya menggunakan sorotan elektron yang lebih fokus dibanding sorotan cahaya.

“Dari gambar yang didapat, tampak bahwa Covid-19 mirip dengan virus corona sindrom pernapasan Timur Tengah ( MERS-CoV) yang muncul pada 2012 dan virus corona sindrom pernapasan akut ( SARS-CoV) yang muncul pada 2002,” kenyataan rasmi dari Rocky Mountain Laboratories (RML) di Institut Nasional Alergi dan Penyakit Menular, Montana, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Ramai yang mempercayai penampakan yang mirip itu adalah disebabkan asal usul virus berkenaan dari jalur keluarga yang sama, iaitu virus corona atau coronavirus. Nama ini berasal dari bentuk virus yang menyerupai mahkota. Kata corona dalam bahasa Latin bererti mahkota.

Tiada jaminan Tuhan

Kita perlu sama-sama mendidik diri dan orang sekeliling pada saat ini. Apapun keadaan, kita semua wajib untuk mengamalkan Norma Baharu dan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Sekiranya kita inginkan perniagaan dan kerja seharian yang lancar serta dipermudahkan, maka amalkan 3W dan cuba elak 3C. Sebagai ‘petugas barisan hadapan’ di musim PKPP ini juga, kita semua perlu sentiasa berpegang kepada konsep CAPP, iaitu cegah risiko Covid-19, amalkan Norma Baharu, patuh kepada SOP dan pantau status kesihatan diri serta keluarga tersayang.

Tiada sebarang jaminan oleh Tuhan untuk kita selamat sekiranya kita enggan mengikut saranan pihak pemerintah di kala pandemik ini masih belum selesai. Tidak kiralah apapun situasi dan amalannya, waima melagakan penumbuk, atau siku atau bahu, ia tidak memberi sebarang jaminan oleh Dia Yang Maha Kuasa bahawa kita boleh terlepas dari virus itu.

Ikhtiar yang sama-sama boleh kita lakukan hanyalah dengan pematuhan kepada arahan badan-badan yang berautoriti seperti KKM dan MKN sahaja.

Justeru, jangan mengambil kerja mereka yang pakar, apatah lagi kuasa Tuhan. Kita selaku hamba kepadaNya dan rakyat di negara ini perlu terus mencegah diri dari menjadi mangsa Covid-19, perlu terus amalkan Norma Baharu di setiap masa, perlu patuh kepada semua SOP yang telah digariskan, dan perlu pantau tahap kesihatan diri masing-masing.

Ingatlah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : “Gunakanlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu, masa kayamu sebelum masa kefakiranmu, masa hidupmu sebelum kematianmu.” (Riwayat al-Hakim).

Justeru, jangan terus leka. Ingatlah bahawa kita masih ada musuh yang tidak nampak dan amat bahaya kepada semua untuk kita perangi. Jagalah masa-masa kita yang berharga sebelum kita kehilangannya.

Sentiasalah patuh kepada setiap teguran dan arahan pihak berkuasa supaya komuniti kita terus terhindar dari wabak maut ini. Bukankah taat kepada Tuhan, taat kepada pemerintah dan menjaga kebersihan diri serta persekitaran itu adalah tuntutan agama?

Oleh : Sarfarizmal Bin Md Saad (Bekas pemimpin pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia)

PENAFIAN : Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian SEPATAH DUA MEDIA. Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *