‘Air Rumi Akbar 1453’ : Ini Mungkin Nama Paling Pelik Di Dunia
2 min read
Mungkin ini kali pertama anda mendengar nama orang ada nombor padanya. Ia bukan cerita kartun atau bahan lawak, tapi benar-benar terjadi.
Pada Jumaat, 18 September 2020 lahirlah seorang anak lelaki dari pasangan selebriti Ammar Zoni, 27, dan Irish Bella, 24. Mereka telah bersepakat untuk menamakan anak berkenaan sebagai Air Rumi Akbar 1453.
Ya, nama anak mereka itu ialah Air Rumi Akbar 1453, dilahirkan dengan berat 3.4 kilogram.
Dek kerana nama anak yang amat unik dan pelik itu, maka pasangan selebriti berkenaan terpaksa mengadakan sidang media khas bagi tujuan menerangkan kenapa nama anak mereka sebegitu rupa.

Ammar Zoni menerangkan kepada media bahawa nama tersebut dipilih bersempena pandemik Covid-19 yang sedang menimpa dunia.
“Perkataan ‘Air’, insya-Allah ke depan boleh menjadi sumber kehidupan buat banyak orang, sumber manfaat orang, rendah hati dan mengalir terus,” ujarnya.
Adapun perkataan ‘Rumi’, adalah kerana dia menyukai penyair sufi Jalaluddin Rumi dengan harapan anaknya boleh menjadi penyair sufi yang mengetahui bagaimana mencintai Tuhan dan berhubungan baik dengan sesama manusia.
Nama ‘Akbar’ pula diambil daripada nama lengkap Ammar Zoni, iaitu Muhammad Ammar Akbar Alruvi. Ia merupakan salam satu bentuk ‘nazar’ ingin meletakkam nama tersebut sekiranya dia dan pasangan mendapat anak lelaki.
“Perkataan ‘Akbar’ pula kerana nama saya asalnya Muhammad Ammar Akbar, saya ingin semua anak lelaki ada nama Akbar,” katanya.

Yang paling menarik adalah adanya empat digit nombor pada nama anak berkenaan. Apakah maksud disebalik digit-digit berkenaan?
Bagi maksud nombor ‘1453’ itu, Ammar meminta masyarakat melihat kaitan nombor itu dalam sejarah kebangkitan Islam.
Menurut Wikipedia, tarikh Selasa, 29 Mei 1453 adalah penawanan ibu kota Empayar Byzantine, Constantinople oleh Empayar Uthmaniyyah. Kejadian ini menandakan berakhirnya Empayar Byzantine yang berusia lebih kurang 1,000 tahun yang ketika itu sudah berpecah kepada beberapa kerajaan monarki Greek.
Kejatuhan Constantinople (kini dikenali sebagai Istanbul) juga mempercepatkan penghijrahan sarjana-sarjana Greek yang membawa bersama ilmu pengetahuan mereka ke Eropah dan menyemarakkan lagi kebangkitan Renaisans.
Selain itu, kejadian ini memainkan peranan penting dalam menstabilkan keadaan politik Empayar Uthmaniyyah dan peluasan empayar ini ke Mediterranean Timur dan Balkan.
Tarikh ini adalah salah satu tarikh yang dicadangkan untuk menunjukkan berakhirnya Zaman Pertengahan.
Pasangan selebriti berkenaan sebelum ini telah mempunyai janin kembar. Namun janin itu mati ketika kandungan berusia enam bulan pada Oktober 2019.
Kini dengan kelahiran ‘Air Rumi Akbar 1453’ pasangan selebriti ini berharap ia akan memberi rezeki kehidupan bagi mereka sekeluarga. – Sepatah Dua