December 9, 2023

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi No 7 Terbaik Daripada 43,983 Lapangan Terbang Seluruh Dunia

2 min read

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) merupakan antara hanya tujuh lapangan terbang di dunia yang diiktiraf oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) atas prestasinya yang terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik kepada pelanggan.

Maklum balas daripada penumpang mengenai LIA diperoleh melalui Kaji Selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) suku tahun yang dijalankan setiap tahun oleh ACI sebagai penanda aras global untuk lapangan terbang dunia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, pengiktirafan daripada penumpang akan memberi motivasi kepada komuniti lapangan terbang dan rakan kongsi untuk terus memberikan yang terbaik walaupun menghadapi tempoh mencabar.

“Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka yang berterusan dan berada di barisan hadapan.

“Kami berharap orang ramai akan mendapat semula keyakinan mereka terhadap perjalanan udara berikutan kami terus melaksanakan langkah-langkah keselamatan pada tahap tertinggi di lapangan terbang dan memastikan pengalaman penumpang tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan minggu ini.

LIA akan menyertai ACI Director-General’s Roll of Excellence yang diwujudkan pada 2011 untuk memberikan pengiktirafan tambahan kepada lapangan terbang yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang.

LIA telah disenaraikan dalam ACI Director-General’s Roll of Excellence berdasarkan pencapaiannya yang memenangi pelbagai anugerah ASQ dalam tempoh lima tahun sejak 10 tahun lepas.

Lapangan terbang itu sentiasa mendapat markah yang tinggi untuk perkhidmatan pelanggan dan memenangi anugerah ACI seperti Lapangan Terbang Terbaik Mengikut Wilayah dan Lapangan Terbang Terbaik bagi saiz (dua – lima juta penumpang setahun).

“Pengiktirafan ini juga menjadi bukti kepada komitmen dan usaha kami untuk terus meningkatkan kualiti dan tahap perkhidmatan.

“Pasukan dipacu oleh janji kami untuk mewujudkan hubungan yang ceria, justeru, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan kami,” kata Mohd Shukrie.

Sebagai salah satu pintu masuk utama ke destinasi percutian paling popular di rantau ini, LIA dinaik taraf dan diperluaskan pada 2018 untuk menampung 4.0 juta penumpang setahun.

Lapangan terbang itu mencatatkan sebanyak 2.9 juta pergerakan penumpang pada 2019, meningkat lapan peratus daripada 2018.

Lapangan terbang yang terletak di Padang Matsirat itu juga telah melalui penambahbaikan yang cemerlang dari segi komersial pada tahun lepas, serta telah meningkatkan prestasi runcit dan sajian makanan supaya penumpang dapat menikmati pengalaman unik di lapangan terbang.

Antara penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan memasukkan jenama antarabangsa baharu ke dalam pulau ini, melalui ruang komersil di LIA. Jenama tersebut seperti Charles & Keith, Costa dan Burger King. – Sepatah Dua

1 thought on “Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi No 7 Terbaik Daripada 43,983 Lapangan Terbang Seluruh Dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *