October 3, 2023

Berlaku Di Malaysia! Menteri Bermesyuarat & Turun Selesaikan Aduan Jam 2 Pagi

2 min read

Oleh : Muhammad Adib

Anda pernah dengar seorang Menteri Kabinet bermesyuarat jam 2.00 pagi? Ya, ia benar-benar berlaku dalam suasana dunia diserang wabak Covid-19 ini.

Ini bukan cerita kartun, atau drama, atau kisah retorik politik yang selalu kita imaginasikan. Tetapi ini kisah benar yang telah berlaku pada 27 dan 28 September 2020.

Lebih mengejutkan, peristiwa itu berlaku di negara kita yang bermaksud ia adalah Menteri Kabinet Kerajaan Malaysia sekarang ini.

Menteri yang bermesyuarat jam 2.00 pagi dimaksudkan itu adalah YB Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Adham Baba. Beliau dikesan telah mengadakan mesyuarat, perbincangan dan proses turun padang sehingga jam 2.00 pagi.

Dr. Adham pada awalnya melakukan satu mesyuarat bersama badan-badan pengurusan bencana negara sejak jam 10.00 malam selepas beliau sendiri menerima pelbagai kecaman dan rungutan dari rakyat melalui media sosial.

Sebelum dan selepas itu, beliau dikatakan telah turun ke Terminal KLIA bersama pengurusan tertinggi kementerian bagi menyaksikan sendiri keadaan yang sedang berlaku di kawasan yang dimaksudkan.

Rungutan itu timbul apabila ramai penumpang kapal terbang dari Sabah terpaksa bersesak dan menunggu lama di KLIA disebabkan arahan mewajibkan mereka semua menjalani swab test.

Arahan wajib yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sehari sebelum itu menurut netizen di media sosial, tidak disusuli dengan persediaan yang rapi sehingga menyebabkan berlaku kesesakan dan mengambil masa yang panjang, antara 4 hingga 6 jam bagi setiap seorang penumpang.

Oleh sebab itu, Dr Adham, Dr Noor Hisham dan pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lain telah bertindak mengosongkan jadual masing-masing pada Ahad, 27 September 2020 untuk memberi tumpuan menyelesaikan aduan ini dengan segera.

Pelbagai tohmahan, kritikan dan cadangan telah dilontarkan melalui media sosial. Ada yang menyalahkan KKM seratus peratus, ada yang masih kekal sabar, malah ada juga yang menyalahkan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Bagi sesetengah pemerhati, insiden ini harus dipertanggungjawabkan ke atas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia kerana mengumumkan sesuatu arahan tanpa persediaan lebih terperinci. Pemerhati berpandangan, tidak adil sekiranya Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia hanya menerima pujian, sebaliknya ketika rakyat mahu mengkritik, maka Menteri Kesihatan pula yang terpaksa menerima segala tohmahan, cacian dan kejian. Itu pandangan di media sosial, mungkin betul mungkin juga salah.

Apapun, YB Menteri Kesihatan sentiasa bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sepanjang menguruskan senario yang tidak dijangka ini. Ia menunjukkan betapa pemimpin KKM ini tidak mahu berfikir soal gosip, sebaliknya mereka terus bergerak untuk membantu rakyat yang memerlukan.

Mesej yang ingin disampaikan di sini jelas, sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita wajar untuk memuji dan viralkan kerja-kerja cemerlang para Menteri Kabinet dan kepimpinan negara. Jika mereka lakukan perkara yang baik, apa salahnya kita war-warkan?

Takkan kita hanya viralkan salah silap dan keburukan mereka semata-mata? Walaupun mungkin mereka tidak sehaluan dengan ideologi politik kita? Atau mungkin juga mereka pernah melakukan kesalahan sebelum ini.

Sepertimana kita sentiasa berterima kasih dan mewar-warkan usaha yang cemerlang dari pelbagai pihak selama ini, terutama kumpulan frontliners. Terima kasih kepada semua warga KKM, bukan Pak Menteri sahaja.

Oleh : Muhammad Adib, Putrajaya

PENAFIAN : Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian SEPATAH DUA MEDIA. Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *