Langkawi Juarai Hampir Semua Standard Pelancongan ASEAN

Boleh dikatakan hampir semua rakyat Malaysia mengetahui akan kewujudan sebuah pulau yang diiktiraf sebagai kawasan peranginan terbaik dunia. Ia adalah Pulau Langkawi Bandaraya Pelancongan.

Tahukah anda, Langkawi merupakan sebuah daerah yang berkeluasan 47, 848 hektar dan telah dinaiktaraf ke status bandaraya pada tahun 2001.

Sejarah pihak berkuasa tempatan di Langkawi bermula sebagai Kawasan Perkhidmatan Pekan Kuah yang dahulunya dikenali kawasan ‘Sanitary Board’.

Ketika pemerintahan Inggeris ‘Sanitary Board’ telah ditukarkan kepada Pengurusan Town Board mulai tahun 1945. Pada 29 April 1987, pihak berkuasa tempatan langkawi dikenali sebagai Majlis Daerah Langkawi.

Meliputi 104 buah pulau seluruh gugusan Pulau Langkawi diwartakan sebagai kawasan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Langkawi.

Sekarang, ia dikenali sebagai Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan.

Langkawi mula membangun sejak tahun 1987 apabila Kerajaan Malaysia mengazetkan daerah ini sebagai Pulau Bebas Cukai.

Pembangunan pulau ini makin rancak apabila kerajaan melalui Kementerian Kewangan menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan visi untuk menjadi agensi peneraju untuk pembangunan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

LADA ditubuhkan pada 15 Mac 1990 dan diletakkan di bawah tanggungjawab Perbendaharaan Malaysia.

Sejak dari itu, pembangunan infrastruktur dan sektor pelancongan di Langkawi makin berkembang maju sehingga pulau ini diiktiraf sebagai salah satu pusat pelancongan terbaik dunia.

Nama Pulau Langkawi bertambah gah apabila ia mendapat pengiktirafan dunia, khususnya Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang telah memilik dan mengiktiraf Langkawi sebagai pusat rujukan ‘geopark’ peringkat Asia Pasifik pada tahun 2015.

Boleh dikatakan Langkawi adalah antara ‘anak emas’ kepada Kerajaan Persekutuan apabila pada tahun 2018, sebanyak 18 inisiatif khas telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu khusus untuk Langkawi, dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.3 bilion.

Rasanya, inilah satu-satunya pulau berstatus daerah yang menerima peruntukan pembangunan tertinggi di negara kita.

Hasilnya, sektor pelancongan di Langkawi tidak menghampakan ‘takung wang’ negara kita.

Terbukti sektor pelancongan di Langkawi telah memberi sumbangan berbilion ringgit setiap tahun.

Langkawi semakin pesat membangun. Walaupun dalam keadaan dunia berhadapan pandemik Covid-19, ternyata sektor pelancongan di Langkawi tetap konsisten dalam menjaga mutu dan kualiti produk-produk pelancongannya.

Terbaru, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri mengumumkan Langkawi telah berjaya menjuarai dua kategori dalam pematuhan syarat standard pelancongan ASEAN bagi tahun 2020-2022.

Dua kategori berkenaan adalah seperti berikut :

  1. ASEAN GREEN HOTEL STANDARD – The Datai Langkawi
  2. ASEAN SUSTAINABLE TOURISM STANDARD – Panorama Langkawi
The Datai Langkawi
Panorama Langkawi

Manakala dua lagi kategori berbaki yang tidak dimenangi oleh Langkawi adalah seperti berikut :

  1. ASEAN CLEAN TOURIST CITY STANDARD – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
  2. ASEAN MICE VENUE STANDARD (MEETING ROOM) – Shangri-La Rasa Ria Resort & Spa
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Shangri-La Rasa Ria Resort & Spa

Bagi kategori ASEAN Mice Venue Standard (Meeting Room) itu, tempat kedua telah berjaya dirangkul oleh Meritus Pelangi Beach Resort & Spa yang juga berada di Langkawi.

Majlis pengumuman tersebut diadakan baru-baru ini di Sheraton Petaling Jaya dengan dihadiri oleh para penggiat industri pelancongan tanah air.

Gambar : MOTAC

Semua anugerah dan kategori ini adalah penghargaan dan pengiktirafan yang tinggi kepada para penggiat industri yang telah memenuhi syarat ketat standard untuk diiktiraf ASEAN, serta layak menerima Penganugerahan Standard Pelancongan ASEAN bagi tahun 2020-2022.

Maka, sebagai rakyat Malaysia kita harus berbangga kerana produk-produk pelancongan di negara ini masih releven dan masih bermutu tinggi sehingga mencapai standard ASEAN, bukan sahaja standard lokal.

Gambar : MOTAC

Apatah lagi rasa bangga kepada mereka yang bergelar penduduk Langkawi dan rakyat negeri Kedah apabila daripada 4 kategori ini, 50 peratus daripadanya adalah milik produk pelancongan dari Langkawi.

Kalau begitu, benarlah Langkawi ini ‘permata Kedah’ dan mungkin lebih daripada itu… Tahniah Malaysia!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *