October 3, 2023

Graduan Tiada Kerja: Tahun Lepas 41k, Tahun Ini 75k

2 min read

Kajian Pengesanan Graduan 2019 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menunjukkan 41,161 graduan pada tahun lepas masih belum bekerja.

Bukan itu sahaja, dengan unjuran 75,000 bagi tahun semasa, maka dianggarkan 116,161 graduan perlu diberikan perhatian untuk kebolehpasaran mereka.

Ini sekali gus mencatatkan bahawa, kira-kira 25 peratus daripada 300,000 graduan pada tahun ini diunjurkan terjejas peluang mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, akibat kesan pandemik COVID-19, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Bagi melepasi isu yang membelenggu pemikiran kita semua ini, maka KPT telah menggerakkan beberapa inisiatif khusus dalam memastikan para graduan yang telah lepas pengajian di universiti mampu terus memperoleh pekerjaan setimpal.

Ini termasuklah menyediakan kemudahan bantuan dana kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuklah inisiatif MyBrain Science; Biasiswa Menteri Pengajian Tinggi dan Bantuan Kewangan pelajar OKU (Orang Kelainan Upaya),” katanya ketika majlis pelancaran Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Untuk rekod, seramai 189,543 graduan atau 63.5 peratus daripada 330,557 graduan pada tahun lepas, berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian mereka.


Menurut Kajian Pengesanan Graduan 2019 itu juga, seramai 49,875 graduan atau 16.7 peratus sedang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Seramai 4,029 orang graduan atau 1.3 peratus sedang mengikuti latihan meningkatkan kemahiran; manakala 13,943 orang atau 4.7 peratus telah menerima tawaran pekerjaan dan sedang menunggu penempatan.

Terbaru, kerajaan memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP) yang bakal memanfaatkan 20,000 graduan dengan penglibatan sinergi oleh lebih 100 buah syarikat dengan tiga program utama, iaitu Job Matching and Replacement, Program Berterusan Keusahawanan dan Gig Economy. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *