Jom Tenangkan Diri Dari Covid, Cuba 10 Destinasi ‘Kurang Dikenali’ Ini…
3 min read
RAKYAT kita masih mengimpikan peluang bercuti di luar negara. Ia didedahkan melalui data carian Agoda.com, melalui kenyataan Naib Presiden Pembangunan Korporat, Agoda, Tim Hughes.
Data kami menunjukkan masih ramai mempunyai keinginan untuk melancong meskipun di dalam negara sendiri sama ada secara berseorangan, berkeluarga mahupun bersama rakan-rakan.
Apa yang paling penting, mereka masih mengharapkan agar laluan pelancongan dibuka untuk beberapa pasaran utama selepas keadaan Covid-19 lebih terkawal dan mencari tawaran hebat apabila laluan tersebut dibuka kelak,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, atas dasar pandemik Covid-19 yang masih berleluasa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui menterinya, Datuk Sri Dr. Adham Baba dan pasukannya telah berpesan supaya rakyat negara ini lebih cakna dalam mengamalkan Norma Baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Antara Norma Baharu dan SOP tersebut adalah tidak dibenarkan melancong ke luar negara, sebaliknya sekadar dapat bercuti ke destinasi-destinasi dalam negara sahaja.
Disebabkan saranan inilah, pihak Agoda.com memaklumkan berlaku peningkatan carian tempat-tempat menarik untuk bercuti di dalam negara, berbanding sebelum ini.

Menurut data carian Agoda.com, arahan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar setiap rakyat mematuhi SOP telah membuatkan para pelancong lebih memilih destinasi kurang dikenali, alam semula jadi dan pantai berbanding bandar besar.
Walaupun sebelum ini rekod menunjukkan bahawa Bandaraya Kuala Lumpur merupakan destinasi pelancongan paling popular dalam laman web berkenaan.

Antara beberapa destinasi yang mungkin masih ramai tidak tahu, namun mempunyai elemen-elemen menarik untuk lari jauh dari wabak penyakit, kesesakan dan norma lama ialah seperti berikut ;
1.DUSUN BONDA RESORT

Dusun Bonda Resort menawarkan penginapan yang menceriakan dan mendamaikan di dalam lanskap tropika yang ditumbuhi pokok-pokok buah yang mekar. Lokasinya di Ulu Tamu, Batang Kali.
2.RUMAH KEBUN SEMUNGKIS

Rumah Kebun adalah rumah percutian yang terletak di Kampung Semungkis, Hulu Langat. Dikelilingi oleh pokok-pokok yang tumbuh mekar, di sinilah anda sekeluarga dapat menghirup udara bersih yang dapat mengembalikan kesegaran segenap tubuh badan setelah berbulan lamanya tenggelam dalam asap kota.
3.ZAMANI’S PLACE KEDAH

Bayangkan dapat terus terjun ke dalam kolam renang sebaik bangun dari tidur, inilah yang dapat anda rasai sekiranya menginap di Zamani’s Place. Resort peribadi ini memiliki 8 buah bilik serta banyak fasiliti menarik yang dapat memaksimakan keseronokan percutian anda sekeluarga tanpa perlu keluar dari kawasan penginapan di Daerah Yan, Kedah ini.
4.DESA DAMAI CHALET, MELAKA

Siapa suka 24 jam hidupnya ditemani deruan ombak yang mengasyikkan? Untuk menikmati salah satu keindahan dunia ini, bookinglah Desa Damai Chalet. Di sini terdapat 4 buah chalet kayu dengan reka bentuk rumah tradisional yang masing-masing lengkap dengan pelbagai kemudahan yang dapat menambahkan keselesaan. Bukan itu saja, chalet di Kampung Hailam, Pengkalan Balak, Melaka ini juga amat bersih.
5.CASA HILL RESORT, PAHANG

Rumah cabin / kontena mewah ini antara yang paling mendapat tempahan ramai pelancong. Selain itu, di sini juga terdapat villa yang luas lengkap dengan 12 buah bilik. Berkaitan dengan rumah kontenanya, kesemua 23 buah kontena ini telah diubahsuai sehingga menjadi penginapan yang elegan, lengkap dengan bilik mandi. Alamatnya mudah saja, iaitu di nombor 189, Jalan Jeram Akar , Kg Arang, Sungai Lembing, 26200 Kuantan.
6.THE BANJARAN HOTSPRINGS RETREAT, IPOH, PERAK

Tempatnya bagai Syurga Dunia, namun masih ramai yang tidak tahu akan kewujudannya. Dimana lokasinya? Hanya 10 minit perjalanan kaki dari Taman Tema Air Lost World of Tambun. Resort ini lengkap dengan restoran terbuka, spa, pusat kecergasan, kolam renang, gua-gua yang terbentuk secara semula jadi dan kawasan kolam geothermal untuk mandian air panas.
7.HOMESTAY RUMAH SUNGAI, PERAK

Homestay Rumah Sungai adalah sebuah penginapan daripada kayu yang terletak di tepian sungai yang masih agak baru dibuka. Setiap penginapannya lengkap dengan ruang balkoni, anda boleh lepak santai sambil melihat sendiri pemandangan air sungai yang mengalir tanpa sedikit pun pencemaran. Lokasinya di Kg Kuak Lata Papan, 33400 Lenggong, Perak.
8.TUBOTEL, LANGKAWI

Jika anda berada di langkawi dan hendak rasa pengalaman tidur didalam silinder simen anda boleh ke Tubotel Langkawi. Hotel ini terletak di Pantai Cenang dan mempunyai 17 buah bilik. Sambil melepak di bilik, anda boleh pilih sama ada mahu menghadap taman atau laut.
9.THE CONTAINER HOTEL, KUALA LUMPUR

Kontena lama yang telah diubah suai menjadi bilik hotel selesa, itulah dia The Container Hotel Kuala Lumpur. Pelbagai jenis pilihan mereka ada, sama ada mahu bermalam di dalam bilik asrama ala backpacker, tube, atau bilik biasa. Mereka beroperasi di Jalan Delima, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
10.TAMAN SAUJANA HIJAU, PRESINT 11, PUTRAJAYA

Taman Saujana Hijau berkeluasan 41 hektar terletak di Presint 11, Putrajaya. Apa yang membezakan taman hijau ini dengan banyak lagi taman lain adalah kerana ianya ditumbuhi dengan banyak pokok pine dan pelbagai lagi tumbukan bukan tropika yang lain. Ia terbahagi kepada 3 zon berbeza iaitu zon Taman Eropah, Taman Oriental dan Taman Inggeris.