Malaysia Tourism Excellence : Hikers Sleep Port Tempat Lepak Ala Rumah Melayu Dan Balik Kampung
4 min read
Kawasan Tanah Tinggi Cameron atau dikenali sebagai Cameron Highlands adalah titik tumpuan para penggemar aktiviti kembara hutan atau hiking di dua tiga lokasi yang sememangnya sudah diketahui ramai orang.
Lokasi seperti Mossy Forest, Cameron Highlands Trail 8, Gunung Irau dan kembara menjejak bangkai helikopter lama yang terhempas adalah antara laluan hiking yang biasa untuk mereka yang sukakan aktiviti ini.
Tapi, kalau dah penat hiking dan hendak berehat bermalam dan kemudian esok sambung hiking lagi dekat mana ya?
Ditambah dengan suhu yang sejuk di Cameron Highlands, apa lagi yang tidak cukup kepada anda kaki hiking untuk berasa sempurna berehat di sini
Untuk para hikers di Tanah Rata ada satu lokasi sesuai untuk anda di dalam kawasan pekan yang di sekelilingnya lengkap serba serbi kemudahan untuk anda menikmati kepelbagaian yang ada di pusat percutian popular di Malaysia ini.

Dah penat hiking, anda pergilah ke Hikers Sleep Port yang pintu masuk dia betul-betul sebelah kedai Tealive dan anda boleh berehat, bermalam serta bersantai di sana bertemakan ala balik kampung dan konsep rumah Melayu.
Baru masuk tangga dari bawah hati anda dah mula teruja dah dek gambar-gambar personaliti yang ada di kiri dan kanan dinding dah boleh beritahu anda bahawa tempat ini amat istimewa.
Ruang legar pun luas dan di situ pun masih tak putus dengan hiasan-hiasan yang ada untuk jadikan anda tenang dan berasa seperti di rumah.
Khairil Yusree ketika ditemui di Hikers Sleep Port bercerita tentang keunikan dan keistimewaan lokasi berkenaan yang kini sudah pun menerima pensijilan MaTEx.
Hikers Sleep Port diuruskan oleh syarikat ORL Ventures iaitu sebuah syarikat pengendali aktiviti pelancongan lasak. Pasangan suami isteri Khairil Yusree Yusof dan Cik Marina Hamzah merupakan pemiliknya.
ORL Ventures adalah syarikat yang sudah dianugerahkan pensijilan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) di bawah platform Tourism Productivity Nexus (TPN) melalui kategori Adventure Tourism yang disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Hiker Sleep Port bermula hujung tahun 2017 sebelum kemudiannya diubahsuai dengan hiasan dalaman yang ada kelasnya tersendiri.
Di sini, anda akan tidur di atas tilam yang diletakkan di atas lantai sama macam apabila kita pulang ke kampung untuk musim perayaan apabila masing-masing tidur berselerak di ruang tamu.
BACA : Inilah Alat Swab Test Automatik Pertama Di Dunia
Suasana begitulah yang biasanya kita tidak dapat lupa dan akan sentiasa dalam ingatan kerana pengalaman begitu sukar untuk dirasai dalam kehidupan seharian.
Ini gayanya tema rumah Melayu dan ala balik kampung yang diterapkan di Hikers Sleep Port.
Bercakap mengenai MaTEx, Khairul Yusree berkata beliau mengenali tentang pensijilan itu daripada seorang aktivis pelancongan lasak iaitu Pensyarah Pengurusan Rekrasi dan Pelancongan Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohamad Khairi Alwi yang juga merupakan Ketua Inisiatif Kumpulan Kerja Pengendali Pelancongan Lasak.
“Encik Mohamd Khairi ada maklumkan sebelum MaTEx diwujudkan bahawa ada satu program pensijilan pelancongan akan diperkenalkan, dan daripada makluman beliau saya dapat tahu tentang MaTEx.
“Beliau juga yang mengesyorkan untuk mengambil peluang berkenaan untuk memohon untuk mendapatkan pensijilan itu,” katanya.
Menurut beliau, pensijilan MaTEx adalah satu pengiktirafan yang penting sebagai nilai tambah utama bagi sesebuah syarikat operator pelancongan daripada pelbagai kategori terutamanya pelancongan lasak yang banyak mengutamakan perkara berkaitan keselamatan.

Katanya, di bawah ORL Ventures, para petunjuk arah atau guide yang bekerjasama dengan mereka semuanya sudah ada kelayakan yang diperlukan tetapi bagi syarikat sendiri sebelum ini tidak ada pengiktirafan dari segi jenama berkenaan dan MaTEx memenuhi ruang berkenaan.
“Sekarang, para operator syarikat yang sudah menerima pensijilan MaTEx sudah ada hubungan yang kukuh untuk sentiasa mengadakan perbincangan, mesyuarat setiap bulan untuk membincangkan apa sahaja perkara berkaitan MaTEx untuk memastikan ia terus relevan,” katanya.
Bagi dirinya dan isteri, pensijilan berkenaan membawa perubahan positif pada aspek pemasaran apabila kini orang ramai mula sedar tentang pensijilan MaTEx dan ia memberikan keyakinan kepada mereka untuk datang dan tanpa ragu-ragu mencuba mengadakan aktiviti dengan syarikat operator berkenaan.
Hikers Sleep Port pada awal-awalnya menjadi tempat persinggahan para pengembara dari luar negara dengan 80 peratus daripadanya ialah dari Eropah dan juga mereka menyasarkan pengembara tempatan.
Antara kata-kata yang diberikan oleh para pengunjung dari Eropah di Hikers Sleep Port.
Akibat pandemik COVID-19, dengan ketiadaan pengembara luar negara, tahun 2020 Hikers Sleep Port mula menerima pengunjung dalam kalangan rakyat tempatan serta sudah ada keluarga yang mula datang dan menginap di situ.
Hikers Sleep Port ada dua tingkat dan tingkat atas tempat tidurnya bercirikan loteng yang amat unik serta semua tempat dipastikan sentiasa bersih dan kemas.
Jika tentang Hikers Sleep Port, ia ada tambahan lagi iaitu cantik dan unik.
Di bahagian atas ada tempat berehat yang menurut Cik Marina ia menjadi lokasi burung-burung datang dan bermain-main di kawasan belakang Hikers Sleep Port.
Kawasan rehat di belakang Hikers Sleep Port yang dikatakan tempat burung-burung singgah.

Ditambah dengan suhu yang sejuk di Cameron Highlands, apa lagi yang tidak cukup kepada anda kaki hiking untuk berasa sempurna berehat di sini.
Dengan ORL Ventures, Khairil Yusree menyediakan khidmat membawa anda bersama guide untuk menjalankan aktiviti mendaki gunung, kembara hutan atau nature walk dan hiking di sekitar Cameron Highlands dan juga ada di Pulau Tioman. – Sepatah Dua