“Ya Allah, Kami Dianaiya & Dizalimi” – Penduduk PPAM Kontroversi
3 min read
Projek Perumahan Awam Malaysia atau PPAM merupakan satu idea paling menarik pihak kerajaan untuk memastikan para penjawat awam memiliki aset yang bernilai tinggi, pada kos mampu milik.
Ia dilancarkan di tahun 2013 dengan fasa pertama dipertanggungjawabkan kepada Perbadanan Putrajaya sebagai penyelaras dan pelaksana untuk pembinaan perumahan berkenaan di dalam kawasan Putrajaya.
Sekarang, PPAM (dulu dikenali sebagai PPA1M) telah lebih 7 tahun dan berada di pelbagai negeri seluruh Malaysia, bukan sahaja di Putrajaya.
Walaupun sudah boleh dianggap ‘matang’ dan berpengalaman, kualiti perumahan PPAM seharusnya lebih baik dari fasa-fasa awal. Namun perkara itu hanya tinggal mimpi sahaja.
Kebanyakan projek perumahan PPAM khususnya yang di Putrajaya telah mengalami pelbagai jenis kerosakan, di samping pengurusan penyelenggaraan kawasan perumahan PPAM juga dikatakan agak teruk bagi sesetengah fasa.
Antara yang menjadi ‘buah mulut’ ramai ialah PPAM Melinjau, Presint 11, Putrajaya. Nama dan reka bentuk perumahan ini tidak menggambarkan pengalaman sebenar penduduk yang bermastautin di sini. Bak kata orang ‘indah khabar dari rupa’.
lebih kurang 1,000 penghuni PPAM Melinjau di Presint 11 ini sedang menjalani hidup berkeluarga dalam keadaan trauma dan dikelilinggi masalah kerosakan pembinaan.
Antara kerosakan yang mereka alami setiap hari adalah pada dinding unit rumah yang melengkung, beam, lantai pecah yang hanya berpasir dan bukan berkonkrit, sistem saliran air dan najis serta keretakan di sana-sini selain kawasan letak kereta yang mudah dinaiki air hingga menyebabkan banjir.

Menurut wakil penduduk di situ, pemaju pula seolah-olah melengah-lengahkan masa untuk memperbaikinya, mungkin menunggu tempoh melakukan semua aduan kerosakan secara serentak dalam dua tahun sekali gus.
Beam rumah pun tidak bersambung sehingga wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) yang datang meninjau melahirkan rasa pelik bagaimana pemaju boleh buat begini,”
kata seorang wakil penduduk kepada sebuah portal berita bebas baru-baru ini.
PPAM Melinjau mempunyai kira-kira 600 unit kediaman dan kerosakan terbesar adalah pada fasiliti guna sama dengan pelbagai jenis kerosakan yang telah di buat aduan. Namun, keluh penduduk, seolah-olah tiada sebarang tindakan lanjut dilakukan pihak berwajib.

“Setelah rungutan kami diviralkan pada laman-laman sosial, ada pihak-pihak tertentu secara diam-diam dikhabarkan membawa Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Dr. R. Santhara Kumar) melawat Blok A PPAM Melinjau, hari ini yang kononnya telah diperbaiki itu.
“Ini dilakukan tanpa tanpa pengetahuan penduduk. Kenapa hendak diam-diam dan tidak ajak penduduk. Kami yang membeli dan bayar malah kami yang duduk. Kenapa hendak ketepikan kami?
“Kerosakan kekal tidak boleh ditutup dengan gosok simen sahaja. Kami penduduk bukan bodoh. Apabila ada wakil media yang mahu datang membuat liputan masalah Melinjau ini, terus mereka batalkan lawatan Timbalan Menteri itu. Kenapa ‘wayang’ lain macam ini,” kata salah seorang wakil penduduk di laman media sosial Facebook.


Dalam perkembangan berbeza, salah seorang penduduk yang tidak mahu dikenali mempersoalkan adakah pemaju perumahan tersebut telah menggunakan bahan dan barangan terpakai termasuk besi penutup longkang dan pintu rintangan api untuk menjimatkan kos pembinaan?
Selain itu, sistem perparitan juga tidak dibina dengan sempurna di mana ada kesan-kesan simen berlebihan dan bertaburan di tepi penutup longkang di parkir kereta kawasan perumahan yang bernilai ratus ribu ringgit itu.
Turut terjejas adalah paip kumbahan yang kerap kali bocor dan ada kes hingga ia pecah hingga memasuki unit rumah dan parkir kereta, seperti pernah dilapor oleh portal berita sebelum ini.
Dalam pada itu, lif penumpang juga tidak menepati spesifikasi bangunan di mana Sijil Perakuan Kelayakan telah tamat tempoh sejak beberapa bulan lalu. Malah lif penumpang kelihatan tidak diselenggara dengan baik dan kotor kerana dinding lif diletakkan papan nipis dipercayai dilakukan oleh pekerja binaan.

Justeru, diharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan bantuan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Perbadanan Putrajaya dapat meneliti setiap satu aduan permasalahan yang diutarakan oleh para penduduk ini.
Jelas sekali bukan sahaja kualiti binaan perumahan ini agak kurang bermutu, malah dikatakan perkhidmatan penyelenggaraan juga tidak seperti yang diharapkan.
Para penduduk di sini merupakan penjawat awam yang berkhidmat di jabatan-jabatan kerajaan untuk melaksana dasar-dasar kerajaan agar kehidupan rakyat lebih bermutu dan sejahtera.
Malangnya, kehidupan para penjawat awam ini sendiri tidak bermutu dan langsung tidak sejahtera apabila mereka pulang ke rumah setelah letih berkhidmat kepada negara. – Sepatah Dua