Tolong Tunda Pendaftaran Pelajar, Elak Kluster Kampus Sabah

KEGEMBIRAAN menghantar anak masuk ke pintu menara gading bagaikan sebuah pesta, jangan pula bertukar menjadi kedukaan menghantar jenazah ke liang lahad. Begitulah perasaan yang ternyiang-nyiang dalam hati ini apabila proses pendaftaran dan kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) sudah hampir pada masanya.

Lebih merisaukan bagi mereka yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kota Kinabalu dan lain-lain institut pengajian tinggi (IPT) di Sabah. Kita semua tahu, kes positif wabak Covid-19 kini mencecah tiga angka dengan kira-kira anggaran 60 hingga 70 peratus adalah datangnya dari Negeri Di Bawah Bayu ini.

Sebagai ibu bapa dan anak yang menerima tawaran ini, pasti mereka berbelah bahagi sama ada ingin hadir ke kampus untuk sesi pendaftaran atau terpaksa melepaskan tawaran itu sekiranya pihak IPT bertegas tiada cara lain untuk mendaftar, melainkan hadir ke kampus secara fizikal.

Bayangkan, jika UMS dan UiTM Sabah sebagai contoh membenarkan ibu bapa dan pelajar datang untuk melakukan proses pendaftaran sesi akademik baharu, mampukah kita mengawal setiap daripada mereka untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu yang dipesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?

Sekiranya terdapat 4,000 pelajar yang akan mendaftar, dengan matematik mudah kita anggarkan setiap daripada mereka membawa sepasang ibu dan ayah, maka seluruh kawasan kampus berkenaan akan menghimpunkan seramai 12,000 orang dari pelbagai pelusuk tanah air.

Andai kata ada seorang yang baru terkena virus Covid-19 dan dirinya sendiri tidak sedar, maka bayangkan bagaimana lajunya ia bakal merebak dan mungkin boleh mencetuskan kluster Kampus Sabah.

Kepada ibu bapa tidak usahlah bersuka ria bergembira ingin menghantar anak ke IPT, bimbang di penghujung nanti duka yang datang menjemput. Kegusaran orang ramai cukup serius sebenarnya, hinggakan ada yang mencadangkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri Sabah. Tentulah cadangan ini agak keterlaluan, namun inilah hakikat yang berlaku sekarang.

Walaupun UA sekarang ada kuasa autonomi, namun gunakanlah nasihat menteri berkenaan dan kuasa autonomi yang ada itu untuk kebaikan nyawa semua pihak. Untuk lebih terfokus, sewajarnya pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertegas dalam perkara ini dengan mengarahkan penundaan proses pendaftaran dan kemasukan pelajar baharu ke UMS dan UiTM Sabah khususnya. Dalam situasi sekarang, bukan lagi masanya untuk kita melepaskan autonomi kepada pihak pengurusan tertinggi IPT untuk membuat keputusan. Sebaliknya pihak pucuk pimpinan kementerian wajar bertegas dalam soal nyawa manusia.

Dicadangkan juga pihak IPT menggunakan kaedah atas talian untuk proses pendaftaran dan orientasi kepada para pelajar baharu di IPT. Biarlah kerajaan terpaksa mengorbankan perbelanjaan yang lebih dan agak besar, asalkan tiada nyawa manusia yang menjadi mangsa diserang Covid-19 pembawa maut ini.

Kesihatan dan nyawa lebih penting daripada yang lain. Jangan kita menjadi pencetus kepada kluster yang lebih parah, sehingga membuatkan ramai yang meletakkan salah ke atas diri kita kerana tidak berusaha membendung sebelum ia terjadi.

Ibrahim Md Syukri
Putrajaya

PENAFIAN : Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak mengambarkan pandangan rasmi portal Sepatah Dua. Terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *