Mengapa Solat Tahajjud Di Tengah Malam?
4 min read
SATU cara paling berkesan untuk berhubung dengan Allah s.w.t ialah dengan bangun mengerjakan ibadat, khususnya sembahyang Tahajud, atau sembahyang di tengah malam.
Tetapi kenapa Allah meletakkan masa untuk sembahyang tahajud pada tengah malam?

Jawapannya :
✅ kerana Allah mahu menguji sejauh mana taatnya seseorang makhluk yang mengaku bertuhankan Allah.
Ini kerana, bukan mudah untuk bangun dari tidur nyenyak pada waktu dinihari, ketika orang lain sedang dibuai mimpi.
Bukan mudah untuk berwuduk dalam dingin malam yang mencengkam.
Juga, bukan mudah untuk menghadap Allah dalam keadaan mata yang masih terkebil-kebil mengantuk.
✅ kerana amalan bangun bertahajud adalah perbuatan amat berat untuk dikerjakan.
Keadaan tubuh yang letih dan lesu kerana sehari suntuk bekerja pada siang hari menyebabkan sesetengah orang yang tidur seperti mati. Ia amat susah untuk disedarkan walaupun puas dikejut.
Keadaan sejuk dan suasana sunyi sepi di tengah malam juga menjadi faktor untuk membuatkan seseorang nyenyak tidur dan berasa keberatan untuk berhubungan dengan Allah di tengah malam.
Iman yang kurang tebal akan membuat seseorang yang tidur nyenyak menarik selimutnya dengan lebih kemas lagi. Sesungguhnya ketika itu adalah masa paling nikmat untuk tidur.
Namun, pada kesukaran inilah tersembunyi suatu rahsia Allah yang hanya sedikit sekali diketahui hamba-Nya.
✅ kerana kelebihan & nilai solat malam ini ( tahajjud ) amat besar di sisi Allah, sekalipun sembahyang Tahajud sekadar sunat.
Firman Allah s.w.t bermaksud:
“Dan dari malam, hendaklah engkau bertahajud (tinggalkan tidur untuk sembahyang) semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji.” (Surah Al-Israk: Ayat 79)
Ayat ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya sembahyang Tahajud. Ia peluang keemasan yang ditawarkan Allah kepada manusia untuk mengukuhkan hubungan mereka dengan Penciptanya.
Sesungguhnya segala kesusahan dan kepayahan itu hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, namun bagi mereka yang biasa, ia menjadi suatu kenikmatan pula.
Bagi yang dapat menghayatinya, mereka akan berasa satu kerugian besar jika meninggalkan sembahyang Tahajud.
✅ kerana di waktu inilah – iaitu sepertiga malam, pintu langit akan terbuka luas untuk menerima taubat hamba Allah dan Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti mahu membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis Riwayat: Abu Daud).
✅ kerana sesungguhnya untuk mendapat kasih sayang daripada Allah bukan sesuatu yang mudah.
Allah mengasihi orang yang beriman dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan yang dilarang.
Sembahyang Tahajud satu suruhan Allah dan oleh itu Allah menyayangi mereka yang mengerjakan sembahyang ini.
Bagi manusia yang benar-benar yakin dan patuh kepada Allah tidak akan keberatan untuk bangun melakukan Tahajud di tengah malam.
Sebaliknya, orang yang lemah imannya akan berasa berat untuk menolak selimutnya walaupun berat selimutnya tidak sampai setengah kilogram.
✅ kerana solat Tahajud sesungguhnya satu daripada sembahyang sunat yang mempunyai nilai dan kedudukan tinggi berbanding sembahyang sunat lain.
Sembahyang Tahajud adalah amalan orang soleh yang sentiasa mahu mendekatkan diri kepada Allah.
Amalan sembahyang Tahajud bukan hanya diamalkan umat Nabi Muhammad malah umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah Tahajud bukan dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad sahaja.
Saidina Umar Al-Khattab berkata ;
Golongan yang mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya akan dianugerahkan Allah 9 perkara, 5 di dunia dan 4 di akhirat”

♦️5 Ganjaran Tahajjud di Dunia :
1- Jauh Daripada Semua Penyakit
Salman Al-Farisi menceritakan, Rasulullah SAW pernah bersabda;
“Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa, serta penghindar penyakit.”
2 – Dikurniakan Kesan Takwa Pada Wajah
Pernahkah melihat wajah-wajah ahli ibadah yang mengamalkan solat malam? Bukankah wajah mereka kelihatan berseri dan tenang? Itulah bukti anugerah yang Allah berikan kepadanya.
Bukan itu sahaja, dengan melihat wajah mereka sahaja pun kita berasa cukup bahagia dan seronok, bahkan terasa mahu melihatnya berkali-kali.
3 – Dikasihi Oleh Semua Manusia
Sesiapa yang mengamalkan ibadah malam pasti akan dikasihi oleh setiap manusia, apatah lagi oleh Allah SWT. Begitulah ciri-ciri orang yang beriman dan beramal dengan Allah pasti akan mendapat kasih sayang dari sesiapa pun.
4 – Percakapan Dan Perbuatannya Mengandungi Hikmah (Kebijaksanaan)
Sesungguhnya ciri-ciri mereka yang beriman adalah yang menjaga adab dan pertuturan kata-kata mereka. Golongan ini sudah tentu tidak berbicara hal yang melalaikan tetapi setiap kata-kata mereka adalah yang bermanfaat dan berhikmah.
Begitu juga dalam perbuatan dan tindak tanduk mereka yang sentiasa berusaha menjauhi perkara yang melalaikan dan berlumba-lumba melakukan kebaikan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
5 – Dikurniakan Kekuatan Dan Rezeki (Halal dan Diberkati)
Dengan menunaikan setiap amal ibadah kepada Allah SWT, tidak kiralah apapun ibadahnya pasti akan ditunaikan rezeki yang melimpah-ruah, seperti makanan yang enak, kesihatan, keluarga yang bahagia dan sebagainya. Bahkan setiap rezeki akan diberkati oleh Allah SWT.

♦️4 Kurniaan Tahajjud Di Akhirat :
- Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri.
- Dipermudahkan hisab.
- Melalui sirat al-Mustaqim dengan cepat seperti kilat.
- Diserahkan surat amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.
Sumber : Majlis Ilmu