“Terima Kasih Warga Emas Malaysia”

Oleh : Abdul Majid Jahaya

(sempena Hari Warga Emas Sedunia)

Warga emas merupakan sekumpulan masyarakat yang telah meningkat usia dan penuh dengan pengalaman hidup. Bagi menghargai jasa pengorbanan golongan ini, dunia telah mewujudkan Hari Warga Emas pada setiap 1 Oktober setiap tahun.

Pelbagai negara di dunia ini punya semangat dan usaha tersendiri untuk menghargai dan meletakkan warga emas pada kedudukan tertentu.

Misalnya di negara kita, kerajaan telah mengkhususnya sebuah kementerian untuk menjaga apa jua urusan dan isu berkaitan kumpulan ini, ia adalah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sebagai tulang belakang kepada tindakan kementerian ini untuk memartabatkan warga emas, satu dasar yang dikhaskan kepada warga emas telah lama digubal.

Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) telah diluluskan oleh kerajaan pada 5 Januari 2011. DWEN dan PTWEN merupakan komitmen kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.

Matlamat Dasar Warga Emas Negara adalah mendayaupayakan individu, keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap dan berkesan serta membangunkan persekitaran yang membantu warga emas hidup sejahtera.

Saban tahun, kita mengharapkan warga emas bukan sahaja memiliki simpanan yang selesa untuk kehidupan mereka yang tersisa, malah golongan ini juga tidak menjadi golongan yang mudah sakit.

Jika negara kita memiliki golongan warga emas yang bukan sahaja kukuh dari segi kewangan peribadi, malah mereka juga sihat dan bertenaga, maka negara kita mempunyai satu lagi kumpulan aset terpenting di kalangan masyarakat.

Sebelum ini kita hanya menganggap golongan belia atau anak muda merupakan aset untuk kita, tidak pernah kita mengiktiraf warga emas sebagai sesuatu yang berharga selari dengan gelarannya iaitu ‘emas’.

Maka amat penting warga emas ini memiliki tahap kewangan yang kukuh dan kesihatan yang baik. Mereka yang ada dua perkara ini sahaja mampu menjalankan fungsi sebagai penasihat, felo, pakar rujuk dan seumpamanya dalam negara ini.

Mana mungkin kita mahu menjadikan mereka yang asyik sakit untuk dijadikan ikon atau penasihat dalam mana-mana organisasi atau pergerakan.

Ayuhlah kita membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang sentiasa berusaha keras mahu membentuk kumpulan warga emas yang mampu berdikari dengan lebih baik agar golongan ini terus menjadi aset buat kekuatan negara.

Abdul Majid Jahaya
Bekas pesara kerajaan

PENAFIAN : Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian SEPATAH DUA MEDIA. Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *