Kampus UniSZA Tutup, Ada Staf Positif Covid-19
1 min read
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu terpaksa ditutup sementara selepas disahkan satu kes positif Covid-19 melibatkan seorang staf mereka.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata penutupan itu melibatkan semua kampus iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut selama tiga hari bermula 5 Oktober 2020.
“Dalam tempoh penutupan itu, proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan seperti biasa secara dalam talian bagi memastikan keselamatan pelajar dan kakitangan.
“Sebagai langkah kawalan, UniSZA telah memutuskan supaya semua kakitangan bekerja dari rumah bermula 5 hingga 7 Okt bagi membolehkan aktiviti disinfeksi (dijalankan) secara menyeluruh,” menurutnya dalam kenyataan kepada media.
Penutupan sementara operasi ini membabitkan semua peringkat, kecuali mereka yang berada dalam bidang keperluan penting sahaja.
Hassan Basri berkata kakitangan yang positif COVID-19 mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu menaiki kapal terbang yang juga dinaiki seorang individu yang pulang dari Sabah dan individu itu kemudian disahkan positif virus berbahaya tersebut.
Susulan kes itu juga, seramai 14 kakitangan UniSZA yang dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit tersebut telah diletak di bawah perintah pengawasan dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Warga UniSZA lain yang mempunyai kontak dengan kakitangan yang dikuarantin juga telah diarah menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula 2 Oktober lalu bagi mengelak penularan dalam kampus.
Buat masa ini, seramai 584 pelajar sedang berada di dalam kampus dengan mendapat jaminan dari pihak pengurusan berkaitan keselamatan, keperluan dan kebajikan mereka. – Sepatah Dua