Kisah Si Nana, Kucing Oyen Yang Hampir Setiap Hari Lawat Pusara Tuannya
2 min read
Kadang-kadang kasih sayang dan ingatan haiwan lebih baik daripada apa yang manusia berikan.
Itulah ceritanya di Tanah Merah, Kelantan yang disiarkan dalam portal Berita Harian Online tentang kisah kasih seekor kucing berwarna oren yang bernama Nana, kucing jantan yang hampir setiap hari melawat kubur tuannya, Ab Aziz Ismail, 61 tahun, yang meninggal dunia pada Julai 2018 akibat komplikasi buah pinggang.
Selain melawat kubur arwah yang dekat dengan rumah setiap pagi, Nana juga akan habiskan masa di atas kereta Ab Aziz serta buaian yang menjadi tempat kesukaan Allahyarham.
Nana menghabiskan masa berehat di atas kereta peninggal arwah tuannya, Ab Aziz Ismail yang meninggal dunia pada 2018. – Foto Berita Harian
Isteri arwah, Hasnah Che Amat, 68 tahun, berkata kucing itu dibela mereka sejak enam tahun lepas dan merupakan haiwan kesayangan suaminya.
“Sepanjang arwah suami hidup, Nana banyak bermanja dengannya dan lebih tersentuh hati, setiap hari waktu solat Subuh, kucing itu akan setia menunggu arwah di pagar rumah setiap kali suami ke masjid.
“Itulah rutin Nana setiap pagi dan sebaik arwah suami pulang, dia akan memberi Nana makan. Mungkin sebab itu hubungan mereka cukup akrab sehinggakan kematian arwah suami seperti masih dirasai Nana sehingga kini,” katanya ketika ditemui di Kampung Paloh oleh wartawan Berita Harian.
Pesara guru itu berkata, selama 40 hari dari hari kematian suaminya, beliau sekeluarga akan ke kubur untuk membacakan Yasin, tetapi si kucing Nana selalunya sampai terlebih dahulu.
“Di kubur arwah, Nana akan duduk di bahagian kepala. Bermula dari situlah kami lihat keajaiban kasih sayang Nana dan arwah suami. Malah, sehingga kini setiap pagi Jumaat, kami akan ziarah kubur, tentu Nana akan sampai dahulu.
“Bagi saya, kucing ini sangat istimewa buat kami sekeluarga dan akan menjaganya dengan baik,” katanya.
Hasnah berkata, dalam tempoh tiga bulan kematian suami, keadaan Nana agak menyedihkan kerana hilang selera makan.
“Namun, keadaannya kembali pulih selepas itu dan Nana banyak menghabiskan masa di atas kereta arwah suami. Sehingga kini, setiap kali saya bercucuk tanam di belakang rumah, Nana akan setia menunggu saya sehinggalah saya naik ke rumah.
“Inilah orang kata, bila kita berbuat baik kepada sesiapa sahaja termasuk haiwan, mereka akan sentiasa mengenang kita,” katanya. – Sepatah Dua