September 28, 2023

Ubah Sikap Kita, Wabak Covid-19 Pasti Takut…

2 min read

Oleh Sarfarizmal Saad

RAMAI terkejut, ada juga yang terdiam apabila Kementerian Kesihatan Malaysia umumkan kes positif wabak Covid-19 pada 1 Oktober 2020 mencecah 260 keseluruhannya.

Tertinggi sejak bulan Jun lalu. Apatah lagi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dalam satu cicipan di twitter miliknya cuba menggambarkan bahawa kemungkinan ‘lockdown’ seluruh negara akan berulang.

Kebanyakan netizen mendakwa punca utama merebak kembali wabak ini disebabkan oleh mereka yang hadir ke Sabah sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) dilakukan. Mungkin betul, mungkin juga tafsiran ini kurang tepat.

Walaupun ia betul, yang salah bukanlah proses PRN, bukanlah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bukanlah parti-parti politik, sebaliknya individu yang hadir dan keras kepalalah yang salah.

Mereka ini ada dalam SPR, ada dalam Barisan Nasional, Perikatan Nasional, DAP dan Warisan. Individu keras kepala dan enggan mendengar arahan atau nasihat ini tidak kira ideologi politik atau latar belakang kerja. Ia merupakan ‘virus sikap’ yang sukar dibendung.

Jika sudah tahu diri itu positif Covid-19, janganlah keluar rumah. Jika pernah kontak rapat dengan orang lain, pastikan juga orang berkenaan duduk diam dan jangan keluar dari tempat ‘kurungan’.

Contohnya jika suami yang baru pulang dari Sabah dan disahkan positif, jangan pula biarkan isteri yang merupakan guru di sebuah sekolah pergi ke sekolah. Andai isteri itu juga positif Covid-19 tanpa gejala, tidakkah seluruh sekolah itu akan terdedah kepada bahaya?

Bagi mereka yang di swab test pada 27 dan 28 September lalu (kumpulan terbesar pulang dari Sabah ke Semenanjung selepas PRN Sabah), walaupun keputusan negatif, seeloknya lakukan kuarantin sendiri di rumah.

Tolong bersikap amanah dan prihatin sikit, sebagai langkah berjaga-jaga.
Kalau tidak mahu ‘lockdown’ lagi sekali, lebih baik ubah sikap kita dahulu, barulah virus Covid-19 ini mampu kita bendung, insha Allah.

Sumber : BEBASNEWS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *