Jika PKP Semula, Kali Ini Pelancongan Akan Lumpuh – Tourism Malaysia

MERSING – Tourism Malaysia bimbang sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semula akan menyebabkan sektor pelancongan lumpuh apabila lebih banyak hotel dan resort ditutup.

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghappar berkata, tindakan tersebut akan merencatkan rantaian ekonomi berkaitan pelancongan.

“Ketika ini industri pelancongan tempatan baru mahu ‘hidup’ balik selepas beberapa bulan melalui tempoh yang sukar semasa PKP sebelum ini sehingga ada hotel dan resort yang ditutup.

“Jadi kita berharap keputusan untuk melaksanakan PKP akan dipertimbangkan semula kerana bukan sahaja pengusaha pelancongan akan terjejas tetapi pekerja-pekerja mereka akan hilang sumber pendapatan atau pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) di Twin Beach Resort, Pulau Sibu di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Solehuddin Ahmad dan Timbalan Pengarah Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Abdul Rahim Harun.

Ammar berkata, bagi kawasan yang dikategorikan zon merah, pengusaha hotel, resort atau inap desa perlu menghentikan perkhidmatan mereka untuk sementara sehingga keadaan kembali pulih dan orang ramai juga perlu menangguhkan perjalanan mereka.

Jelasnya, ini bagi mengelakkan situasi Covid-19 bertambah buruk sekali gus tidak mahu wujud kluster baharu daripada sektor pelancongan.

“Langkah penutupan sementara juga akan mengelakkan pengusaha hotel atau resort daripada mengalami kerugian untuk terus menanggung kos operasi mereka seperti sewa dan bayar gaji pekerja atau perbelanjaan utiliti.

“Dalam tempoh itu sementara menunggu keadaan kembali stabil, pengusaha hotel atau resort boleh memberikan kursus untuk meningkatkan kemahiran pekerja selain menyediakan pelan atau rangka kerja sebagai persediaan membuka semula perkhidmatan mereka,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sama, Tourism Malaysia akan memberikan bimbingan dan membantu bagi memastikan mereka terus berdaya tahan bagi mengelakkan perniagaan ditutup.

“Kita juga banyak bertemu dengan pengusaha dan memberikan galakan, pandangan serta nasihat selain mengetahui masalah yang ada supaya pengusaha tidak merasa kerajaan ‘meninggalkan’ atau mengabaikan mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *