Kluster Sabah, Rakyat Alpa Jadi Punca Kes COVID-19 Melonjak

Perkara dibimbangi rakyat terhadap impak daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, akhirnya tercetus apabila kes baharu positif COVID-19 pada Isnin melonjak kepada angka 432, kes tertinggi pernah dicatat sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas.


Ibarat ‘bah’ melanda, kes positif baharu yang dikesan, hari demi hari bagaikan tiada henti terus merekodkan peningkatan selepas PRN berakhir pada 26 September, daripada hanya 58 kes positif COVID-19 di seluruh negara semasa hari proses penamaan calon pada 12 Sept lalu, kepada 432 kes.


Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM), sehingga semalam sebanyak 235 kes positif wabak itu dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept dengan 29 kes terbaharu semalam.


Buat pertama kali juga, kes positif semalam turut melibatkan menteri Kabinet iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.


Desas-desus perkara itu mula tular di media sosial sejak pagi semalam apabila dua sidang media yang sepatutnya diadakan semalam oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dibatalkan sehingga menimbulkan pertanyaan.


Ia diikuti kenyataan akhbar oleh Dr Noor Hisham yang memaklumkan seorang individu yang menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada 3 Okt, positif COVID-19, sebelum persoalan itu terjawab apabila Dr Zulkifli sendiri memuat naik kenyataan menerusi media sosial mengesahkan dirinya kini sedang menerima rawatan berikutan wabak itu.


Berikutan itu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa semua kontak rapat termasuk Menteri Kabinet semasa mesyuarat berkenaan diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari 3 Okt selain turut dipakaikan gelang pengawasan.


Muhyiddin juga memaklumkan beliau sendiri menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu mengikut nasihat KKM.


Ismail Sabri dalam kenyataan menerusi akaun Facebooknya malam tadi pula memaklumkan langkah membatalkan sidang media itu dilakukan untuk mengelak risiko jangkitan kepada media yang membuat liputan setelah beliau mengetahui keadaan Dr Zulkifli sebaik selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri, semalam.


Selain Dr Zulkifli, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku Lim Yi Wei dan ADUN Kota Damansara Shatiri Mansor, masing-masing menerusi media sosial dan kenyataan akhbar semalam turut mengesahkan dijangkiti COVID-19 setelah kembali dari Sabah pada 27 Sept.


Pada masa sama, Media Prima Berhad juga memaklumkan seorang kakitangan editorialnya yang membuat liputan PRN Sabah, positif COVID-19 setelah kembali dari Sabah pada 30 Sept dan kini sedang dirawat di sebuah hospital kerajaan.


Bagaimanapun melihat kepada ujian getir dihadapi negara ketika ini, ia bukan masa sesuai untuk menuding jari kepada mana-mana pihak kerana ada juga kluster-kluster baharu yang dikesan melibatkan kealpaan rakyat.


Mereka didapati terus berdegil untuk mengamalkan kebiasaan baharu dalam menghadapi peningkatan kes akibat pandemik itu walaupun nasihat demi nasihat dinyatakan setiap hari.


Semalam sahaja, menurut Ismail Sabri seramai 979 individu ditahan kerana enggan mematuhi SOP dengan kesalahan gagal mematuhi penjarakan fizikal paling banyak direkodkan selain tidak memakai pelitup muka.


Sehubungan itu, seperti kata Dr Noor Hisham, terus patuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan, jadikan ia kebiasaan baharu dalam kehidupan harian dan jangan keluar rumah jika tiada keperluan.


Kasihanilah petugas kesihatan, jangan biarkan air mata dan peluh mereka selama ini hanya sia-sia, bersama-samalah kita memainkan peranan melandaikan lekuk jangkitan pandemik COVID-19.
— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *