Tak Salah Anak Ponteng Sekolah Kerana Bimbang Covid – Page

Bukan menjadi kesalahan jika ibu, bapa atau penjaga untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah buat sementara waktu susulan peningkatan kes positif Covid-19, kata Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page).

Pengerusinya, Noor Azimah Abdul Rahim berkata langkah pencegahan itu perlu sekiranya ibu, bapa atau penjaga merasakan keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka lebih terjamin jika berada di rumah masing-masing.

“Ya, bagi saya pengumuman (perdana menteri berhubung penutupan sekolah) itu okay. Tetapi jika ibu bapa masih lagi risau akan keselamatan anak-anak, apa salahnya mereka tidak menghantar anak-anak ke sekolah buat sementara waktu ini.

“Sebab kita sendiri tak tahu (sebarang kemungkinan yang akan berlaku kepada anak-anak ketika berada di sekolah), jadi tak ada salahnya untuk ibu bapa menjaga anak-anak mereka di rumah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Noor Azimah berkata demikian mengulas pengumuman Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam bahawa hanya sekolah yang berada di zon merah saja akan diarah tutup.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas berhubung situasi semasa Covid-19 semalam berkata, setakat ini kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah di kawasan zon merah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.

Jangan abaikan pelajaran di rumah

Bagaimanapun, mengulas lanjut, Noor Azimah berkata ibu, bapa dan penjaga perlu memastikan anak-anak tidak mengabaikan pelajaran mereka sepanjang tempoh tersebut.

“Mungkin ibu, bapa dan guru boleh usahakan supaya anak-anak ini dapat meneruskan pelajaran mereka, terutamanya pelajar sekolah rendah. Mereka juga sebenarnya boleh belajar sendiri, asalkan sumber (pembelajaran) itu ada. Maksudnya, walaupun anak-anak dicutikan tetapi pembelajaran harus diteruskan.

“Dan akhirnya kesihatan dan keselamatan anak-anak itu diutamakan, lebih-lebih lagi dengan laporan semalam yang menunjukkan kanak kanak berusia setahun telah meninggal dunia,” katanya.

Turut berkongsikan pandangan adalah Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hassan.

Mohamad Ali berkata pengumuman Muhyiddin berhubung penutupan sekolah-sekolah di kawasan zon merah sahaja adalah disifatkannya sebagai adil dan saksama.

“Saya rasa pengumuman itu adil dan saksama. Kerana pengumumannya, satu ditujukan kepada penutupan sekolah sekolah di kawan zon merah.

“Tetapi, beliau juga mengingatkan kemungkinan untuk menutup semua sekolah-sekolah di seluruh negara jika diperlukan, serta berdasarkan penelitian semasa. Malah, ia juga akan diumumkan dalam sidang khas.

“Saya kira amalan sekarang seperti garis panduan yang disediakan kementerian ia juga selaras dengan IPT dalam negara, yang mana IPT di zon-zon merah telah diarahkan tutup. Tapi, tidak semua IPT yang ditutup dan pendaftaran juga telah dibuat secara dalam talian,” katanya.

Oleh itu, Mohamad Ali mengingatkan ibu, bapa, guru dan pelajar supaya tidak terlalu bimbang dengan apa yang berlaku buat masa ini.

Bagaimanapun, kata Mohamad Ali ibu, bapa dan penjaga berhak untuk merehatkan anak-anak dari ke sekolah buat sementara.

“Jika ibu bapa merasakan bahawa lebih selamat dan terjamin sekiranya tidak menghantar anak-anak ke sekolah memandangkan kes harian Covid-19 juga semakin meningkat, saya kira ini terpulang kepada ibu bapa dan penjaga itu sendiri.

“Saya juga percaya tidak ada penalti besar yang akan dikenakan kepada ibu bapa dan penjaga yang berbuat demikian,” katanya.

Namun katanya, ibu, bapa dan penjaga tidak seharusnya leka dan mengabaikan pembelajaran anak-anak ketika berada di rumah.

“Saya menasihatkan juga ibu, bapa, pejaga dan murid agar memanfaatkan masa yang terluang ini dengan mengulang kaji serta meningkatkan pelajaran dengan bantuan pihak tertentu.

“Atau pihak sekolah juga boleh menjalankan sesi pembelajaran melalui atas talian seperti yang pernah kita lakukan sebelum ini,” katanya.

Jangan perjudi nyawa

Sementara itu mengulas tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor yang masih meneruskan sesi persekolahan di Klang walaupun kawasan tersebut kini berada dalam zon merah, Noor Azimah menggesa KPM segera menutup sekolah yang terlibat.

Katanya, ini kerana pihak sekolah tidak boleh memperjudikan nyawa pelajar sedia ada.

“Kementerian kena pantau isu tersebut dan perlu keluarkan arahan untuk sekolah terlibat ditutup segera, kerana pihak sekolah tidak boleh memperjudikan nyawa pelajar pelajar kita. Keselamatan anakanak adalah yang paling utama, nyawa anak anak ini tidak boleh ditukar ganti,” tegasnya.

JPN Selangor hari ini memaklumkan sesi persekolahan di Klang masih diteruskan seperti biasa setakat ini walaupun daerah itu dikategorikan zon merah tengah hari semalam.

Pengarahnya, Izmi Ismail, ketika dihubungi Bernama berkata sebarang penutupan sekolah hanya akan dilakukan selepas mendapat saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dia berkata setakat ini, hanya tujuh kelas melibatkan dua sekolah di Klang ditutup selepas pelajar dan gurunya diarah menjalani kuarantin di rumah kerana mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19.

Selangor mencatatkan 232 kes aktif semalam termasuk di Klang yang merekodkan 77 kes sedang dirawat.

Untuk rekod, dalam perkembangan terbaru hari ini, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat lagi daerah iaitu Klang, Sandakan, Papar dan Tuaran dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 9 Oktober (Jumaat) ini.

Di bawah perintah itu, semua sekolah di daerah yang terlibat akan ditutup. Begitu juga dengan masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam, IPT, Institut Latihan Kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz dan pusat jagaan kanak-kanak.

Susulan itu Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan bahawa semua sekolah di zon merah Covid-19 di seluruh negara akan ditutup mulai esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *