Orang Ramai Syukur Macau Scam Diperangi, Harap Ia Betul-Betul Dibanteras
3 min read
Pada 2 September lepas, kecoh apabila mendengar berita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat perintah tahanan reman terhadap lima orang termasuk seorang yang ada gelaran Datuk yang berkaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram melalui sindiket Macau Scam.
Rentetan daripada kes itu, berkait pula dengan artis tertentu apabila mereka yang ditahan adalah dalang Macau Scam di negara ini dan menggunakan artis untuk memberikan wang haram mereka untuk dilaburkan bagi menjalankan perniagaan.

Selepas itu, muncul di media sosial kenderaan yang sudah disita oleh SPRM yang dahulunya dimiliki oleh artis tertentu yang terlibat dengan wang haram berkenaan.
Mencari rezeki dan menyimpan ini penat, jangan mudah-mudah ditipu sehingga nanti semuanya hilang dalam beberapa saat sahaja dek kena tipu.
Sumber wang haram itu ialah dari jenayah Macau Scam.
Macau Scam ialah sindiket yang menipu orang biasa dengan membuat panggilan telefon kepada mereka dengan menyamar sebagai pegawai mahkamah, pegawai polis dan juga ada yang menyamar sebagai pegawai SPRM dan memberitahu mereka ada kes tertentu yang menyebabkan akaun bank mereka dibekukan.
Selepas itu, mereka akan meminta mangsa mengeluarkan wang dari akaun mereka kononnya untuk menyelesaikan kes berkenaan dan akaun mereka boleh digunakan semula, sudahnya wang mereka yang lesap.
Kes Macau Scam kalau dilihat daripada luahan dan kejadian yang terpapar di media sosial, ia sudah beroperasi lama bertahun dan seakan-akan tidak ada tindakan yang boleh dikenakan ke atas dalang-dalang ini.
Dalang-dalang itu pula yang ditahan, sebelum ini di media sosial mereka menayangkan kemewahan mereka yang tak masuk akal secara berlebihan seperti mereka raja. Mereka nampak tidak kisah pun pada mangsa yang sudah ditipu wang mereka beribu-ribu ringgit.
SPRM dikatakan curiga dengan penipuan Macau Scam yang berleluasa tanpa penguatkuasaan akhirnya mendorong siasatan lebih mendalam oleh mereka sehingga ada individu yang telah ditangkap.
Mereka yang ditangkap turut termasuk anggota pihak berkuasa agensi lain.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mendedahkan siasatan penipuan itu dimulakan SPRM kerana mereka percaya Macau Scam telah beroperasi beberapa tahun lalu.
Mereka yang terlibat ini akan didakwa manakala aset dan wang yang dirampas akan dijadikan hasil kerajaan.

”Setakat ini telah menahan 11 orang awam tempatan dan seorang warga China untuk membantu siasatan berhubung kes ini.
”Penahanan ini turut melibatkan penahanan lapan orang penguatkuasa yang dipercayai terlibat dan memberi perlindungan kepada scam ini. Mereka yang melindungi disiasat kerana membiarkan kes-kes ini berlaku.
“SPRM turut menyita 730 akaun bank membabitkan RM80 juta dan lebih kurang RM5 juta wang tunai dan 23 kereta mewah yang diperoleh daripada penipuan turut dirampas. ‘Antara kereta mewah itu ialah Mustang, Porshe, Roll Royce, GTR, Bently, Lamborghini dan motosikal,” katanya menurut laporan portal berita tempatan.
Berita terbaru hari ini menyatakan pihak SPRM sudah ada senarai penuh Macau Scam termasuk selebriti dan ahli perniagaan.
Azam berkata pihaknya ada mereka yang terlibat termasuk pihak yang menerima hasil daripada kegiatan haram itu.
Beliau kini meminta sesiapa sahaja yang terlibat atau ada menerima duit dari sindiket Macau Scam segera tampil membantu siastaan dan tidak menunggu sehingga dipanggil oleh agensi penguatkuasaan itu.
“Scam ini melibatkan banyak pihak. Mereka yang terasa pernah menerima, terterima wang ini daripada mana-mana pihak yang telah ditahan segera hubungi SPRM.
“Saya bagi jaminan akan mengambil mereka sebagai saksi sekiranya bekerjasama. Mereka ini akan diberi perlindungan di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010,” katanya menurut laporan dari portal Malaysia Gazette.
Di pihak rakyat, amat berharap supaya sindiket ini benar-benar dihapuskan dan lenyap sepenuhnya supaya rakyat boleh bekerja mencari rezeki dengan aman dan tenang tanpa bimbang ditipu atau kehilangan wang akibat sindiket keji seperti ini.
BACA JUGA : Kluster Sabah, Rakyat Alpa Jadi Punca Kes COVID-19 Melonjak
Dikhabarkan, ada warga tua yang kehabisan wang simpanan, pesara hilang wang persaraan dan suami isteri yang disonglap wang mereka dek tertipu oleh dalang Macau Scam ini.
Diharapkan tindakan ini dilakukan dengan amat tegas dan apa jenis cara penipuan dibanteras sama sekali.
Mencari rezeki dan menyimpan ini penat, jangan mudah-mudah ditipu sehingga nanti semuanya hilang dalam beberapa saat sahaja dek kena tipu.
Orang ramai sentiasa beri sokongan kuat kepada pihak berkuasa yang tegas memerangi sebarang bentuk penipuan dan jenayah yang mempergunakan mangsa untuk kepentingan diri penjenayah itu sendiri. – Sepatah Dua