October 3, 2023

118 Pasangan Pengantin ‘Serang’ Pejabat Agama

2 min read

Klang: Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang ‘diserang’ 118 pasangan bakal pengantin yang ingin mendirikan ‘masjid’ semalam, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang, bermula hari ini.

Sejak malam tadi, tular posting dimuat naik seorang jurugambar, Sheikh Ameer Haziq, 24, dari Klang yang berkongsi pengalaman melihat suasana di pejabat agama itu seperti majlis graduasi universiti.

Menurutnya, ketika dia tiba di pejabat itu pada 6 petang, bakal pengantin dilihat beratur panjang sehingga ke perkarangan pejabat agama itu.

“Lebih 40 pasangan ada ketika itu, saya difahamkan setiap pengantin diberikan waktu untuk akad nikah, contohnya pelanggan saya dinikahkan pada 9.30 malam.

“Sepanjang enam tahun jadi jurugambar, ini kali pertama saya lihat suasana ini, saya tidak menyangka begitu ramai pasangan (hadir ke pejabat agama) seperti malam tadi.

“Saya juga difahamkan, ada pasangan sepatutnya bakal nikah minggu hadapan tetapi dipercepatkan kepada semalam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya sudah bersedia lebih awal kerana sudah menjangkakan keadaan itu akan berlaku.

“Alhamdulillah, 118 pasangan pengantin selamat mendirikan ‘masjid’. Mereka dinikahkan secara berperingkat oleh lima Pendaftar Perkahwinan Nikah Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor.

“Sejak awal lagi saya sudah menjangka ia berlaku dan meminta semua pegawai di Klang bersedia. saya turut menetapkan majlis akad nikah perlu diselesaikan sebelum 12 tengah malam.

“Kalau ada keperluan selepas ini, JAIS akan melaksanakannya, bagaimanapun kami jangka ia tidak akan berlaku seperti malam tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, biasanya pasangan akan dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Kariah, namun dalam keadaan sekarang JAIS membantu dengan membuka pejabat pada Sabtu dan Ahad serta hari bekerja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *