Pak Long Mail, Noraini & Panglima Perang Covid-19 Terima Pingat Melaka

Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului senarai 20 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam sempena sambutan ulang tahun ke-71.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr Hasim Hasan berkata Ismail Sabri akan menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Hasim berkata selain Ismail Sabri, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad turut menerima darjah yang sama namun kedua-dua menteri berkenaan tidak dapat hadir ke istiadat penganugerahan tersebut kerana sedang menjalani kuarantin.

“Tiga lagi penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) adalah Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Firuz Jafril dan Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Mohamed Farid Abu Hasan,” katanya dalam kenyataan di Melaka.

Hasim berkata, empat individu dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira dan diberikan kepada Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Sazali Muhd Din @ Muhamad Din, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Beliau berkata tujuh individu pula dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi M. Ravi, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka Rahmad Mariman dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.

“Selain itu, Pengarah Kesihatan Melaka Dr Ismail Ali, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri Melaka Abd Kadir Md Idris dan Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka Kamarudin Sidek,” katanya.

Katanya empat individu pula dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk iaitu Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Markas Tentera Laut Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis, Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Norhayati Rusli, Ketua Jabatan Pengurusan PDRM SAC Shaharon Anuar Abdul Latif dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Shadan Othman.

Untuk makluman, Dr Norhayati Pengarah Kawalan Penyakit, KKM merupakan individu paling penting dalam negara ini yang bertindak dalam operasi melawan Covid-19 setiap hari. Namun, beliau antara individu yang bekerja di latar belakang dan tidak didendang selama ini. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *