October 3, 2023

Netizen… Tolong Jap! KKM Nak Buat Kerja

2 min read

Kita faham dalam keadaan separa darurat seperti pandemik ini, semua perkara nak cepat. Selalunya kalau kita nak cepat serba serbi, kualiti akan ‘ke laut’. Dek kerana nak kejar cepat, kita tak sempat nak kejar kualiti.

Sama juga dengan situasi yang berlaku sekarang. Pandemik COVID-19 telah mendesak semua pihak untuk sentiasa berjaga-jaga setiap masa. Akan ada keputusan di akhir waktu tanpa diduga, itulah situasinya jika kita di dalam situasi darurat atau separa darurat.

Apabila kes meningkat di Sabah sebagai contoh, ramai memerhati apa tindakan pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengurangkan jurang risiko wabak ini terus menular, dan bagaimana angka kes sembuh dapat dinaikkan.

Pujian perlu diberikan kepada KKM kerana telah berjaya bertindak laju bagi menangani kes positif COVID-19 yang makin meningkat naik di Sabah.

Dalam masa tidak sampai 24 jam, Menteri Kesihatan Datuk Sri Dr. Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah telah berjaya mendahului langkah dengan menggerakkan beberapa inisiatif bantuan buat Sabah.

Antara tindakan yang paling segera diambil KKM adalah dengan memobilisasikan seramai 483 anggota kesihatan. Mereka merangkumi Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juru X-ray, Pegawai Sains Mikrobiologi, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam.

Dr. Adham Baba turut mengumumkan tambahan Hospital Kota Marudu sebagai Hospital COVID-19 terkini. Maka KKM kini mempunyai tujuh (7) hospital untuk merawat kes COVID-19 (kategori 3-5) di Sabah.

Dr. Noor Hisham juga sentiasa mengemaskini proses mobilisasi para petugas KKM ke Sabah, hampir setiap hari. Ini salah satu petanda bagaimana KKM bergerak pantas dalam memastikan tahap penularan COVID-19 di Sabah berada pada tahap yang terkawal.

Kombinasi antara Dr Adham selaku menteri dengan Dr Noor Hisham selaku Ketua Pengarah Kesihatan sebenarnya telah banyak membawa rentak irama yang tepat untuk pasukan petugas KKM melawan wabak maut ini.

Usaha sebegini amat diharapkan oleh mereka yang berada di bawah. Mereka yang sibuk mencari nafkah dan rezeki bagi menyara hidup yang berbaki. Golongan ini bukanlah tidak takut kepada wabak maut, namun mereka tiada pilihan.

Kadang-kadang terpaksa bahayakan diri demi sesuap nasi di rumah. Justeru, sekiranya pihak kerajaan sentiasa peka dan optimis dalam bertindak pantas serta berimpak, sedikit sebanyak dapat membuatkan golongan bawahan ini menarik nafas lega.

Apa yang perlu dilakukan adalah memberi sepenuh sokongan terhadap KKM dan lain-lain agensi yang sentiasa bertungkus lumus melawan wabak maut tersebut. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *