Kadar Penggunaan Katil Rawat Covid-19 Di Sabah Cecah 71%

Sebanyak 71 peratus kadar penggunaan katil direkodkan di sembilan hospital yang merawat pesakit COVID-19 membabitkan 723 pesakit di Sabah setakat 13 Okt.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata di 19 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula menempatkan sebanyak 4,161 katil dengan kadar penggunaan 23 peratus.

“Setakat ini, kadar penggunaan 1,018 katil di sembilan hospital COVID-19 di Sabah adalah 71 peratus. Kadar penggunaan bagi katil ICU (Unit Rawatan Rapi) adalah 110, iaitu bersamaan 57 peratus.


“Jadi bagi mengurangkan beban di hospital, kes-kes COVID-19 kategori satu dan dua iaitu yang tiada gejala atau gejala ringan, kami akan tempatkan mereka di 19 PKRC manakala kes tahap tiga, empat dan lima akan ditempatkan di sembilan hospital di Sabah.

“Kami akan memantau dengan lebih mendalam lagi dan teliti untuk melihat perkembangan kes. Sekarang ini, kami melihat kepada keperluan ventilator. Kami ada 180 ventilator di Sabah dengan penggunaan hanya 30 peratus,” katanya.


Memperincikan jumlah katil di sembilan hospital di Sabah, Dr Noor Hisham berkata bagi Hospital Queen Elizabeth, sebanyak 324 daripada 684 katil dikhaskan untuk pesakit COVID-19 dengan bilangan pesakit terkini ialah 237 atau 73 peratus.


Bagi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di Likas, jumlah katil untuk pesakit COVID-19 ialah 110 melibatkan 105 pesakit setakat ini iaitu pengisian sebanyak 95 peratus.


“Untuk Hospital Tawau, jumlah katil adalah 413, dan jumlah katil untuk pesakit COVID-19 ialah 214. Bilangan pesakit COVID-19 sekarang ini 178 dengan pengisian ialah 83 peratus.


“Hospital Duchess of Kent, Sandakan mempunyai 389 katil dan jumlah katil yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 ialah 164, dan bilangan pesakit setakat ini ialah 87, iaitu pengisian 54 peratus,” katanya.


Selain itu, Hospital Lahad Datu memperuntukkan 131 daripada 226 katil untuk pesakit COVID-19 dengan pengisian 92 pesakit (70 peratus) setakat ini, manakala Hospital Keningau dengan 18 pesakit (51 peratus) pengisian katil untuk pesakit COVID-19.

Bagi Hospital Kota Marudu dan Hospital Semporna masing-masing mencatatkan kadar pengisian katil sebanyak 25 peratus selain Hospital Kudat yang hanya mempunyai satu pesakit daripada dua katil yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19.


— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *