KKM Tambah Kapasiti Makmal Ujian Covid19 Ke Tahap Maksimum

Persediaan negara menghadapi peperangan melawan pandemik Covid-19 terus diperkukuh dengan meningkatkan kapasiti maksimum makmal kepada 54,706 ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction atau RT-PCR setiap hari, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata pencapaian itu adalah hasil kerjasama 61 buah makmal di bawah kendalian KKM, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, universiti awam (UA) dan swasta serta makmal-makmal syarikat swasta.

“Sebanyak 13 makmal UA di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan makmal swasta kini dalam proses menggembeling sumber ke tahap maksimum,” kata kenyataan itu.

Malaysia mencatatkan peningkatan tiga digit kes baru Covid-19 sejak seminggu lalu dengan Sabah merekodkan bilangan kes tertinggi hampir setiap hari.

Sehingga kini, jumlah kes terkumpul jangkitan Covid-19 dalam negara sebanyak 17,540 kes dengan 660 kes baru dilaporkan semalam.

Tambah Adham, setakat ini sebanyak 42% kapasiti makmal negara sudah digunakan dan peratusan ini dijangka meningkat untuk menguji lebih banyak sampel, terutama dari zon merah, zon kuning serta aktiviti saringan dan pengesanan aktif kontak rapat oleh KKM.

Manakala di Sabah, katanya, Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, makmal di Hospital Queen Elizabeth dan Makmal Universiti Malaysia Sabah sudah beroperasi dengan kapasiti 2,500 ujian sehari.

“Baki sampel dari seluruh Sabah dihantar dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Malaysia ke Semenanjung,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *