September 26, 2023

Benarkah KKM Sekadar ‘Berpeluk Tubuh’ Ketika Situasi COVID-19 Makin Serius?

2 min read

Tak ramai yang komen, tapi ada sebahagian rakyat Malaysia yang persoalkan kononnya Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan (KKM) tak buat apa-apa ketika COVID-19 meningkat serang rakyat bermula hujung September lalu – gelombang ketiga.

Ya, memanglah yang pertikaikan itu hanya beberapa kerat sahaja, namun jika sesuatu tuduhan dan fitnah tidak dijawab atau diberi pencerahan, maka ia mampu merebak seperti virus pandemik juga.

Ada yang kata, KKM sekadar buat sidang media setiap petang dan laporkan angka-angka kes setiap hari sahaja. Persoalannya, benarkah seperti dituduh?

Baiklah, mari kita maklumkan kepada mereka yang mungkin masih kabur apa yang KKM telah bertindak bagi menangani wabak maut COVID-19 ini.

Untuk makluman mereka yang masih belum tahu, sekadar kita membaca di media sahaja, sudah cukup untuk kita mendapat segala jawapan yang dicari.

Contohnya, dalam satu kenyataan KKM pada lewat petang 16 Oktober 2020, kerajaan telah bertindak menambah kapasiti hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Ringan Covid-19 (PKRC) kepada 11,076 katil bagi meningkatkan keupayaan dan memastikan sistem kesihatan negara mampu mendepani pandemik ini.

gambar hiasan

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata jumlah itu termasuk 3,505 katil di 43 hospital Covid-19 dan 7,571 katil di 46 PKRC seluruh negara. Berbanding pada 6 Oktober lepas, hanya terdapat 2,820 katil di hospital dan 3,975 katil di PKRC.

Khusus untuk Sabah saja, KKM telah sediakan 5,276 katil khusus COVID-19, meningkat 53 peratus berbanding bilangan katil pada 5 Oktober lepas. Ini semua hanya sekelumit dari usaha KKM untuk memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum di negeri itu.

Bukan jumlah katil sahaja, KKM juga telah tambahkan mobilisasi petugas kesihatan ke hospital, klinik kesihatan, pejabat kesihatan daerah serta petugas lapangan termasuk 140 pegawai perubatan dan 225 penolong pegawai perubatan.

Ada lagi yang kerajaan lakukan, antaranya Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah sediakan hospital medan yang menempatkan 100 katil khusus di negeri Sabah.

MINDEF juga bantu membawa sampel ujian COVID-19 ke Semenanjung Malaysia dan menerbangkan 75,000 kit ujian RTK-Antigen serta pelbagai peralatan ke Sabah.

Sebelum itu, KKM turut memperkasakan proses ujian COVID-19 di negara ini, dengan meningkatkan kapasiti maksimum makmal COVID-19 kepada 54,706 ujian RT-PCR setiap hari.

Kalau netizen nak tahu, pencapaian itu hasil kerjasama bersepadu kesemua 61 makmal di bawah KKM, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Universiti Awam dan Swasta serta makmal swasta.

Kalau nak diikutkan, banyak lagi usaha kerajaan kita untuk melawan wabak maut ini. Namun biasalah, masih ada juga pihak yang terus negatif terhadap apa yang telah dilakukan.

Tindakan negatif ini sebenarnya tidak akan memberi apa-apa kelebihan pun untuk melawan COVID-19, kecuali jika kita sama-sama amalkan norma baharu dan mengikut SOP, itu barulah boleh menjadi “vaksin” paling mujarab dikala ini untuk kita lawan COVID-19.

Oleh : Sarfarizmal Md Saad, Putrajaya.

PENAFIAN : Ini merupakan pandangan peribadi penulis yang dikirimkan kepada kami. Ia tidak semestinya mengambarkan kenyataan portal SEPATAH DUA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *