Hanya Sabak Bernam Saja Ada Solat Jumaat Waktu Ini

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hanya membenarkan Solat Jumaat dan majlis akad nikah di masjid dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di zon hijau sahaja berikutan perkembangan kes jangkitan COVID-19 di negeri itu.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata berdasarkan kepada faktor geografi dan keadaan semasa, hanya daerah Sabak Bernam adalah zon hijau.

“JAIS menetapkan bagi membenarkan Solat Jumaat didirikan di semua masjid dan surau kebenaran Jumaat di daerah kategori zon hijau (Sabak Bernam) dengan bilangan jemaah Solat Jumaat adalah dihadkan kepada 23 orang pegawai dan ahli jawatankuasa bagi masjid dan 16 orang pegawai dan ahli jawatankuasa bagi surau Jumaat.

“Jumlah yang sama juga dibenarkan bagi mendirikan solat fardu lima waktu dengan had kehadiran 23 orang jemaah di masjid dan 16 orang jemaah di surau dalam kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam semalam.

Mohd Shahzihan berkata bagi zon kuning dan merah, JAIS memutuskan untuk tidak membenarkan Solat Jumaat dilaksanakan di masjid dan di surau kebenaran Jumaat.

“Hanya enam orang jemaah sahaja dalam kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa dibenarkan untuk mendirikan solat fardu lima waktu di masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau.

“Semua majlis akad nikah di masjid dan PAID yang dibenarkan sebelum ini, ditangguhkan bagi daerah yang dikategorikan zon kuning dan zon merah,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perubahan kepada ketetapan berkenaan.

  • Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *