Ariey Jojo Sampai Ke RTM Disebabkan Mi Segera

Ariey Jojo atau nama sebenarnya Farihah Abdullah tidak asing lagi kepada umum, terutama bagi yang pernah menontonnya di YouTube.

Mana tidaknya, ramai kagum menonton telatah Ariey yang banyak mulut dalam video ulasan makanannya.

Jika melihat videonya makan mi segera, warganet mungkin mengatakan gilanya gadis ini. Tetapi inilah cara Ariey memberi kelainan dalam videonya.

Mempunyai lebih 80,000 pengikut di YouTube, Ariey berkata pada mulanya dia membuat video makanan kerana ingin mempromosikan mi segera yang dijual kepada rakan.

“Saya bermula jadi Youtuber ini secara tidak sengaja. Asalnya masa belajar saya buat kerja separuh masa untuk mencari duit lebih dengan menjual mi segera.

“Sebab itu kalau perasan, video awal-awal saya banyak pasal mi segera dan sambil itu saya baru tahu rupanya boleh menjana pendapatan di YouTube,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi baru-baru ini.

Berusia 26 tahun dan bekerja sebagai pengacara program media sosial Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) Layan Makan Jerr berkata, dia masih dapat mengawal pengambilan kalori makanan sehari-hari.

“Kalau rasa dah terlajak, saya akan berpuasa untuk mengawal balik berat badan,” katanya yang juga merupakan bekas graduan Universiti Malaya (UM).

Mengakui dirinya bukanlah dalam kategori “mukbang” yang memerlukan makan banyak, Ariey berkata kesihatan tetap diutamakan.

Tidak dinafikan menerima jemputan pengacaraan daripada pihak RTM kerana mereka melihat cara penyampaiannya yang santai di YouTube.

“Insya-Allah, di masa hadapan saya akan sentiasa berusaha untuk kembangkan saluran YouTube saya dan pergi jauh lagi dalam bidang penyiaran,” katanya.

Gadis Kota Bharu, Kelantan ini mahu memastikan videonya dapat memberi manfaat kepada orang lain dan bukan semata-mata untuk menjana pendapatan di YouTube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *