March 28, 2023

Taman Negara Di Pahang Dibuka Semula Hari Ini

2 min read

Bagi peminat-peminat pelancongan alam semulajadi, Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut dan Sungai Relau di Merapoh, Lips sudah pun dibuka semula bermula hari ini untuk pelancong tempatan. Anda boleh menyertai semula aktiviti rekreasi dan riadah di kawasan hutan tropika itu.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di laman sosial Facebook mereka semalam,

Seperti biasa, ketika pandemik COVID-19 melanda ini, anda kena patuh pada prosedur operasi standard (SOP) tambahan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

https://www.facebook.com/perhilitanofficial/posts/4024617114218426

Menerusi SOP tambahan MKN itu, sekatan dikenakan terhadap pengunjung dari negeri atau kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memasuki Taman Negara Pahang.

“Hanya pelawat yang berusia antara 12 hingga 60 tahun dibenarkan memasuki taman ini dan boleh menggunakan kemudahan awan di Taman Negara bagi tujuan rekreasi dan riadah.

“Manakala, aktiviti mendaki Gunung Tahan dari Kuala Tahan (Jerantut) dan Sungai Relau, Merapoh (Lipis) cuma dibenarkan untuk 20 orang pendaki dan maksimum bagi setiap kumpulan pendaki cuma 10 orang tidak termasuk malim gunung,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, aktiviti pengangkutan bot penambang di kawasan Taman Negara yang berkapasiti muatan empat dan enam orang penumpang perlu mematuhi penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka dan etika keselamatan tertentu.

BACA JUGA – Pandang Pertama iPhone12 Dan iPhone 12 Pro

“Titian kanopi (Canopy walkway) mula dibuka dengan mengehadkan seramai 160 orang sahaja pengunjung dan ditutup pada hari Rabu manakala pelawat diminta mematuhi penjarakan sosial ketika menunggu giliran termasuk aktiviti rekreasi dan riadah lain,” katanya.

Peraturan sebelum anda menaiki tangga untuk ke Titian Kanopi di Taman Negara.

Kenyataan itu menyebut, aktiviti berjalan malam dan pemerhatian haiwan liar di Bumbun masih tidak dibenarkan dan masih ditangguhkan buat sementara waktu.

Arahan penutupan sementara Taman Negara Kuala Tahan oleh PERHILITAN pada 6 Oktober 2020 lalu adalah kali kedua selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu berikutan penularan pandemik COVID-19 serta penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah oleh MKN.

Berikutan itu lebih 300 pengusaha eko-pelancongan di situ terputus punca pendapatan dan meminta kerajaan membuka semula taman berkenaan. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *