September 26, 2023

Rumah Kuning Di Bagas Zakariah Rumah Indah Sarat Sejarah Berusia Sudah 100 Tahun

4 min read

Sebaik anda keluar dari Plaza Tol Gopeng, Perak dan kemudian belok ke kanan, tak jauh dari situ di sebelah kiri anda akan tersergam indah satu kawasan dengan ada beberapa buah rumah kampung yang cantik dengan imej yang amat tradisional.

Nama tempat itu ialah Bagas Zakariah, iaitu sebuah lokasi Kampungstay yang betul-betul menyajikan pengalaman seperti berada di dalam sebuah kampung lengkap dengan ciri-ciri tradisionalnya sekali dan diberi sentuhan moden.

Sejurus masuk ke dalam kawasan Bagas Zakariah ini, anda akan terus nampak sebuah rumah berwarna kuning di depan mata tersergam kukuh serta mencetuskan rasa ingin tahu apa kisah yang ada di dalam rumah berkenaan.

Anda dan keluarga boleh mandi-manda dan memancing di sungai di dalam Bagas Zakariah ini, dan jika anda memancing, kemungkinan besarnya anda tidak akan kecewa.

Pintu belakang untuk masuk ke Rumah Kuning di Bagas Zakariah, Gopeng yang sudah pun berusia 100 tahun ini.

Rumah ini dikenali dengan nama Rumah Kuning dan ia sudah pun berusia 100 tahun, pada tahun ini kerana ia dibina pada tahun 1920 oleh pemiliknya iaitu seorang usahawan yang amat dikenali di Gopeng pada masa dulu iaitu Zakariah Malim Sulaiman.

Menurut keluarga pemilik Bagas Zakariah iaitu generasi cucu kepada Zakariah, Azmin Abdul Aziz, katanya Allahyarham Zakariah sebelum ini telah berhijrah daripada Sumatera, Indonesia ke Kuala Lumpur pada sekitar tahun 1890-an ke awal tahun 1920.

Pada tahun 1920 berkenaan, Zakariah kemudian berpindah ke Gopeng di Kampung Lawan Kuda. Pada masa beliau berhijah dari Sumatera, mereka berhijrah bersama lima orang adik beradik, katanya.

Azmin berkata, pada awalnya, Zakariah mencari rezeki dengan menghantar air perigi dari rumah ke rumah sesiapa yang memerlukan menggunakan kandar dan kemudian melakukan pelbagai pekerjaan termasuk berniaga.

“Sedikit sebanyak, beliau mula membeli tanah, ada orang hendak jual tanah jadi beliau beli dan dia seorang yang berjimat.

“Kebetulan ketika beliau sudah ada tanah, ketika itu harga getah melambung naik di negara ini, beliau kemudian menceburkan diri dalam bidang penanaman getah dan di situ perniagaannya mencapai zaman kegemilangan,” katanya.

Jadilah cerita, Allahyarham Zakariah membeli tanah tapak Bagas Zakariah seluas lima ekar yang pada ketika itu, ditanam dengan getah.

Pandangan dari tepi Rumah Kuning berusia 100 tahun di Bagas Zakariah, Gopeng, Perak.

Rumah Kuning pada masa dahulu, tapak binaannya di lokasi lain di dalam tanah yang sama. Selepas Zakariah meninggal dunia dalam tahun 1958 tanah ini dimiliki kemudian kepada bapa Azmin, Abdul Aziz Zakariah. Kini, lokasi Bagas Zakariah dimiliki oleh adik Azmin, AR Azim Abdul Aziz.

Kini, dalam peredaran masa demi masa, Rumah Kuning itu dipindahkan ke tapak yang baru di mana ia berada sekarang dan Bagas Zakariah pun diusahakan sebagai satu tempat yang menyediakan penginapan ala-kampung yang benar-benar bercirikan kampung.

BACA JUGA – Gelombang Ketiga COVID-19 Tiba, Sektor Perhotelan Kembali Getir

Pemiliknya sekarang, Azim adalah seorang arkitek dan beliau amat menyukai ciri-ciri bangunan tradisional dan identiti itu adalah keperibadian Bagas Zakariah pada rumah-rumah yang ada di dalamnya.

Jika anda ke Bagas Zakariah, anda dan keluarga boleh menginap di Rumah Kuning berkenaan yang sarat dengan cerita dan sejarah, sehingga anda akan bersatu dengan sejarah keluarga Allahyarham Zakariah apabila berada di dalam rumah berkenaan.

Hiasan dalamannya persis hiasan dalaman zaman dahulu dan anda akan terasa seperti berdiaglog umpama filem Melayu klasik dek nilai sejarah yang ada di dalam rumah berkenaan.

Ada satu peti besi lama yang sengaja di simpan oleh keluarga Zakariah yang sudah berusia lebih lama dari rumah berkenaan yang digunakan oleh Allahyarham Zakariah dahulu untuk menyimpan wang hasil usaha beliau mencari rezeki.

Di ruang tamu utama di hadapan sekali, ada satu pintu yang ada lubang mengintai di tengahnya yang boleh ditutup dan dibuka.

Ceritanya ialah itu adalah lubang untuk orang dalam rumah seperti isteri dan anak perempuan mengintai tetamu untuk mengetahui berapa ramai yang datang supaya senang mereka menyediakan air dan makanan untuk tetamu.

Tempat tadahan air hujan di Rumah Kuning, Bagas Zakariah di Gopeng.

Tempat curahan hujannya juga begitu cantik dan antik menunjukkan orang lama mengambil perhatian yang serius terhadap binaan rumah kediaman mereka kerana mereka mahu menghargai kesenian itu lama selama mereka mendiami rumah berkenaan.

Ada dua rumah lain yang anda boleh menginap di Bagas Zakariah iaitu Rumah Lenggong yang dibina di Lenggong pada tahun 1950 dan dibina semula di Bagas Zakariah dengan binaannya dibuka satu persatu dan dipasang semula.

Ada juga Rumah Lawan Kuda sebagai rumah simbolik kawasan Lawan Kuda di Gopeng tempat Bagas Zakariah yang dibina tahun lepas dengan ciri binaan tradisional dan moden.

Di Bagas Zakariah, turut ada sebarang sungai yang mengalir di dalamnya iaitu Sungai Serebu atau sebutannya Sungai Seribu. Anda dan keluarga boleh mandi-manda dan memancing di sungai di dalam Bagas Zakariah ini, dan jika anda memancing, kemungkinan besarnya anda tidak akan kecewa.

Ketenangan di Bagas Zakariah, mungkin akan membuatkan anda akan mampu berbicara dengan diri anda sendiri seterusnya membantu anda muhasabah diri melalui merasai ketenangan di sana.

Anda boleh lihat media sosial Facebook mereka di Bagas Zakariah Orchard Lodge.Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *