Isytihar Darurat Beri Kesan Buruk Kepada Ekonomi Melayu

Pengisytiharan darurat pada masa kini akan memberi lebih banyak implikasi buruk kepada ekonomi negara dan rakyat terutamanya orang Melayu berbanding ketika darurat pada tahun 1969.

Bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim berpendapat, pengisytiharan darurat akan menjejaskan pasaran saham tempatan dan ini sekali gus memberi kesan besar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Khazanah Nasional sendiri.

Ini kerana firma-firma tersebut merupakan pelabur institusi utama di Malaysia yang menguruskan dana-dana milik rakyat dan negara.

“Bagaimana darurat boleh menjejaskan orang Melayu biasa?

“Terdapat kira-kira 15 juta orang Melayu yang melabur simpanan mereka dalam dana-dana milik ASN, ASB dan sebagainya manakala kira-kira 14 juta lagi merupakan pencarum KWSP.

“Dana-dana ini membuat pelaburan yang besar di Bursa Malaysia.

“Sekiranya pasaran saham merudum, mereka tidak mampu membayar dividen yang baik kepada pemegang unit.

“PNB belum ditubuhkan pada 1969 jadi orang Melayu biasa tidak kisah mengenai kejatuhan ekonomi dan sebagainya. Ini berbeza dengan keadaan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Sheriff yang juga bekas Ketua Perbendaharaan Negara itu menambah, pengisytiharan darurat yang dicadangkan Perdana Menteri itu juga akan membantutkan progres Dasar Ekonomi Baharu kepada orang Melayu golongan pertengahan.

Ini kerana kebanyakan mereka bergantung kepada dividen ASN dan ASB untuk menambah wang persaraan bagi membiayai kos kehidupan harian.

Selain itu katanya, para peniaga juga turut terkesan kerana mereka bersandar kepada nilai saham syarikat masing-masing unthk mendapatkan pinjaman.

“Jadi, Tuan Perdana Menteri, saya berharap anda berfikir secara mendalam sebelum membuat pengisytiharan darurat.

“Persembahkanlah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja mengenai segala kemungkinan yang akan berlaku terhadap ekonomi dan implikasi sosial akibat daripada darurat ini.

“Kesan tersebut bukan sahaja kepada kekayaan mereka tetapi juga simpanan rakyat,” katanya lagi. -MG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *