Pengerusi Samsung Meninggal Dunia

Pengerusi Kumpulan Samsung, Lee Kun-hee meninggal pada Ahad selepas enam tahun dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung.

Lee, 78, yang membantu membangunkan perniagaan perdagangan mee milik bapanya sehingga menjadi sebuah konglomerat ternama dalam pelbagai bidang termasuk elektronik, insurans, pembinaan kapal dan pembangunan.

Mendiang meninggal dunia di sisi ahli keluarganya termasuk anak lelaki yang juga Naib Pengerusi Samsung Electronics, Jay Y Lee, kata konglomerat itu dalam satu kenyataan.

Kematian Lee merupakan kematian terbaharu pemimpin generasi kedua keluarga yang menguasai konglomerat Korea Selatan sekali gus menyebabkan isu perebutan kuasa dalam golongan generasi ketiga menjadi semakin hangat.

“Mendiang Lee merupakan seorang individu yang berwawasan jauh dan menukar Samsung daripada sebuah syarikat tempatan kepada sebuah syarikat ternama yang memacu inovasi dan industri dunia.

“Deklarasi 1993 yang menyebut Pengurusan Baharu merupakan pemacu kepada visi syarikat untuk menyampaikan teknologi terbaik dalam membantu memajukan masyarakat dunia,” kata Samsung.

Semasa hayatnya, Samsung Electronics yang asalnya pembuat televisyen peringkat kedua menjadi sebuah syarikat teknologi terbesar dunia dari segi perolehan mengatasi jenama-jenama terkenal Jepun seperti Sony, Sharp Corp. dan Panasonic Corp. serta mengakhiri keagungan telefon bimbit Nokia serta berlawan dengan Apple Inc dalam segmen telefon pintar.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *