Lawan Covid-19 Tanpa Kira Darjat, Pangkat
3 min read
KUALA LUMPUR, 10 Mei -- KIT ?PERANG COVID-19?... Kolaj rakaman gambar beberapa orang awam menunjukkan peralatan perlindungan dan pembersihan diri seperti pelindung muka, sarung tangan, topeng penutup hidung dan mulut dan cecair sanitasi tangan yang kini tidak boleh ditinggalkan apabila keluar rumah dan kini menjadi norma baharu bagi masyarakat Malaysia dalam perang memutuskan rantaian wabak COVID-19. Peralatan ini adalah penting dalam mengekang penularan jangkitan wabak COVID-19 meskipun kes jangkitan di negara ini telah menurun namun ia bukan petanda kita telah menang dalam melawan jangkitan wabak COVID-19 ini.?-- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA????
Di Kedah, kita sudah buktikan kerjasama antara pemerintah dan rakyat menangani virus maut COVID-19 berjaya menurunkan nilai R0 (R-naught) sehingga ke angka 0.7 baru-baru ini.
Perlis, Kedah dan Pulau Pinang antara negeri terawal menjadi Zon Hijau. Namun, selepas kes Kluster Sivagangga, Zon Hijau tak dapat dikekalkan, terutama di sebahagian kawasan di negeri Kedah.
Negeri berkenaan tiba-tiba bertukar menjadi Zon Merah apabila menularnya Kluster Sivagangga di Jitra. Bermula dari situ, Kedah bertukar menjadi sebuah negeri Zon Merah di kebanyakan kawasan sehinggalah kerajaan dan rakyat bermuafakat bertindak bersama-sama.
Sebelum itu, R-naught merujuk kepada kebolehjangkitan virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat. Ia merujuk kepada keberjangkitan, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti virus dibawa oleh kes dalam wabak itu.
Kita masih ingat ketika Kluster Sivagangga, orang kampung masih kurang jelas mengenai prosedur operasi standard (SOP). Pakai gelang pink, tetapi masih ke kedai membeli kopi, barang dapur dan sebagainya.
Ada juga terdengar, tiga kes membabitkan bapa dan anak mendapat jangkitan dari kedai gunting. Bapa bersalaman dengan sahabat lama yang dijangkiti COVID-19, tetapi tiada simptom.
Selepas beberapa hari, bapa dan dua anak berkenaan disahkan positif COVID-19, termasuk semua ahli keluarganya.
Ini senario yang berlaku di Kedah ketika itu. Amalan norma baharu masih belum diadaptasi ke dalam kehidupan harian penduduk.
Namun, selepas kerajaan bertindak ‘mengurung’ kawasan terbabit dan meningkatkan penerangan berkaitan norma baharu, maka kerajaan dan rakyat sama-sama bertindak melawan COVID-19 di Kedah.
Akhirnya negeri dengan jolokan Jelapang Padi itu kembali ‘menghijau’ bukan sahaja kerana padi, malah kes baharu COVID-19 pun sudah tiada dari negeri berkenaan. Berkat kerjasama dan muafakat, usaha antara kerajaan dan rakyat bersama.
Musuh ini halus sangat, tidak boleh nampak dengan mata kasar. Malah, tiada siapa kebal melawan musuh ini. Justeru, semua harus mempunyai kesedaran terhadap kepentingan melawan virus ini.
Kerja melandaikan lengkungan graf COVID-19 ini ternyata akan gagal jika kita sekadar menegur dan mengarahkan rakyat mengikut prosedur, sebaliknya pemimpin tidak patuh.
Juga, sekiranya rakyat yang berpuluh juta di negara ini enggan mengikut arahan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), keadaan pasti bertambah teruk.
Lihat sahaja apa yang warga Amerika Syarikat (AS) sekarang ini lakukan dan berapa kes baharu yang mereka catatkan? Tertinggi dan terburuk dalam dunia.
Oleh itu, bagi menjadikan keadaan lebih ideal dan impian kita untuk bebas daripada musuh tak nampak ini, maka gunakanlah kaedah whole of government approach, whole of society approach secara sederap.
Bukan masanya untuk kita saling menunding jari mencari salah orang lain. Kita sudah berada pada gelombang ketiga, sepatutnya masing-masing ada pengalaman dan pengetahuan untuk menjadi petugas barisan hadapan.
Ibarat perkongsian oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, ketika ditemubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM baru-baru ini.
Sebagai menteri, beliau berkata, kita tak kira sesiapapun atau apapun pangkat, perlu sama-sama melawan musuh yang dikenali ini dengan menurunkan R-naught melalui kaedah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD), ujian saringan, pematuhan kepada SOP serta amal norma baharu.
“Kita mesti bangkit melawan musuh yang sudah kita kenal, iaitu COVID-19 yang berada di mana-mana, yang mungkin kita boleh buat persiapan whole of government approach, whole of society approach,” katanya.
Kesimpulannya, ayuh sama-sama tanpa mengira darjat melawan virus ini. Daripada jemaah menteri, penjawat awam, kerajaan negeri dan semua rakyat negara ini. Kita mesti menang!
Dr Muhammad Kelantani, Kuala Lumpur