Portal Singapura Sifatkan Dr Noor Hisham Antara “Trio Wira Covid”

SEPERTI yang diketahui umum, pertengahan April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dinobatkan sebagai “antara doktor terbaik dunia” oleh sebuah stesen televisyen China yang kagum dengan strategi beliau dalam menangani pandemik Covid-19 di Malaysia.

Enam bulan berlalu dan dengan Malaysia sedang mengharungi gelombang ketiga pandemik itu, reputasi beliau tetap gah.

Terbaharu, nama beliau dinyatakan pula dalam tajuk berita portal The Independent, Singapura yang bertajuk “Drs Noor Hisham, Bloomfield and Fauci – Covid’s heroic trio“ (Dr Noor Hisham, Bloomfield dan Fauci – Trio Wira Covid).

Wacana itu ditulis oleh Tan Bah Bah, editor perunding portal berita tersebut dan juga merupakan bekas penulis kanan The Straits Times.

Dalam kolumnya ‘Sense And Nonsense’, Tan memulakan dengan: “Tidak dapat dinafikan, hero asal pandemik Covid-19 ialah mendiang Dr Li Wenliang, pakar oftalmologi yang merupakan orang pertama memberi amaran kepada pihak berkuasa kesihatan di Wuhan tentang virus itu Disember lepas.

“Tatkala Beijing berjaya mengawal situasi di wilayah Hubei dan lain-lain kawasan di China, negara-negara lain yang bergelut menentang virus itu turut melahirkan wira masing-masing.

“Seorang daripada mereka memainkan peranan penting di sebuah negara yang akan menghadapi pilihan raya pada 3 Nov ini yang keputusannya bakal membawa kesan di seluruh dunia,” tulis Tan, merujuk kepada Dr Anthony Stephen Fauci, Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan Amerika Syarikat.

Seorang lagi ialah Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Dr Ashley Bloomfield.

Tan seterusnya berkata, tiga pakar kesihatan awam negara itu kini menjadi perhatian antarabangsa, selain Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Mengenai Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia itu, Tan menulis: “Hampir setiap petang sejak beberapa bulan lepas, rakyat Malaysia setia menonton siaran langsung taklimat Covid-19 yang disampaikan oleh Dr Noor Hisham.

“Beliau tenang memperincikan perkembangan terkini, dan secara bersahaja saling beralih di antara bahasa Inggeris dan Melayu. Beliau merupakan jurucakap negara tentang usaha Malaysia membendung penularan virus itu.”

Tan juga berkata usaha Dr Noor Hisham tidak berhenti setakat itu. Beliau juga membuat hantaran Twitter dari hati.

“Kita perlukan perpaduan untuk menentang pandemik ini, bukan saling bertelagah. Barisan hadapan kita berjuang di lapangan sejak 10 bulan lepas, 24/7. Keletihan mental dan fizikal kini dirasai. Sesetengahnya sudah bersedia untuk mengalah. Belajarlah dari Sabah,” demikian hantaran Twitter Dr Noor Hisham yang dipetik oleh Tan.

“Malaysia mengalami peningkatan mendadak sekarang disebabkan, antaranya pilihan raya Sabah,” kata Tan dalam artikelnya itu.

Tan juga berkata di New Zealand, individu yang setara dengan Dr Noor Hisham ialah Dr Bloomfield yang memenangi hati dan minda rakyat negara tersebut dengan kepimpinannya yang tenang sepanjang pelaksanaan sekatan.

Editor perunding itu turut menyifatkan Dr Fauci sebagai “tidak mudah gelabah”.

The Independent yang bermula pada 9 Ogos 2013 merupakan platform berita yang dimiliki dan dioperasikan oleh wartawan, dan portal ini melaporkan isu-isu semasa, ekonomi dan politik di Singapura secara mendalam dan bebas.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *