Jaga SOP, 30 Peratus Dari 230 Kluster COVID-19 Di Malaysia Berkait Tempat Kerja
2 min read
Sebanyak 62 kluster atau 30 peratus daripada 230 kluster wabak COVID-19 yang direkodkan di Malaysia sejak bermulanya pandemik ini di negara kita ada kaitan dengan tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat hari ini, 37 daripadanya masih lagi aktif, termasuk dua kluster baharu yang diumumkan hari ini.
Beliau berkata, biarpun majikan terbabit mengambil tindakan proaktif, warga pekerja juga berperanan besar dalam membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membendung penularan COVID-19 di tempat kerja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
BACA JUGA – Pengerusi Samsung Meninggal Dunia
Katanya, warga kerja juga perlu sentiasa mengamalkan kawalan kendiri ketika berada di tempat kerja.
“Persekitaran tempat kerja yang bersih dan selamat juga hendaklah dijadikan kebiasaan harian bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, petang tadi.
Oleh sebab itu, di kawasan-kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) para pekerja diberikan arahan supaya bekerja dari rumah jika tidak terlibat dalam sektor penting.
Apabila sudah bekerja dari rumah, sepatutnya mereka akan lebih banyak masa di rumah daripada di luar. Ia berkait pula dengan pesanan setiap hari Dr Noor Hisham iaitu jika tidak ada urusan penting, duduk di rumah.
Jadi, jika anda banyak masa di rumah dan tidak ada perkara hendak dibuat untuk keluar, duduklah sahaja di rumah sepanjang PKPB dan biar bilangan kes kembali menurun semula dan keadaan kembali pulih.
Jika anda masih keluar tanpa tujuan dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta anda berada di kawasan merah, anda adalah risiko jangkitan akan berlaku kepada anda dan anda bawa pula virus ke rumah seterusnya mewujudkan kluster baharu.
Anda jalankan peranan anda untuk elak dari melakukan perkara berisiko untuk anda dijangkit, anda jaga diri, anda tak sakit. – Sepatah Dua