Berita Palsu Tentang Covid-19 Keruhkan Lagi Situasi Pandemik

Oleh : Sarfarizmal Saad

Tanggal 29 Oktober 2020 genap setahun Akta Antiberita Tidak Benar 2018 telah dimansuhkan oleh kerajaan terdahulu. Sungguh singkat ‘usia’ akta yang menjadi pandemik perbincangan pada suatu ketika dahulu.

Kenapa diungkapkan kembali perkara yang telah tiada di kala pandemik virus COVID-19 sedang melanda negara? Apa perkaitan antara kedua-duanya?

Kisahnya adalah mengenai keluh kesah dan kesedihan dihadapi para peniaga gerai di Pusat Komuniti Kempas, Johor Bahru yang difitnah kononnya mereka berada dalam Zon Merah COVID-19.

Tindakan beberapa pihak tak bertanggungjawab itu mengakibatkan para pengunjung Pusat Komuniti berkenaan takut untuk jejak kaki ke kawasan berkenaan. Sekali gus, menjejaskan pendapatan peniaga di situ sehingga 30 peratus.

Penularan berita tidak benar tersebut seolah-olah ‘mencurah pasir ke periuk nasi’ mereka yang tak berdosa.

Contoh lebih makro, pada awal Oktober lalu terdapat berita palsu yang mendakwa 13 orang Menteri Kabinet disahkan positif COVID-19. Berita yang tular melalui media sosial ini bukan saja boleh menambah cemas rakyat, malah turut memberi imej tak baik kepada keseluruhan kepimpinan negara.

Sepatutnya ketika dunia sedang berhadapan dengan musuh tak nampak ini, kita sama-sama bermuafakat menjaga diri dan orang sekeliling. Bukan sibuk sebarkan perkara-perkara fitnah dan tidak tepat sebegini.

Jelas menunjukkan, walaupun negara berada pada tahap separa darurat atau darurat, sikap sesetengah rakyat masih tak berubah. Kendatipun mukanya ditutup litup dengan ‘face mask’, namun mulutnya, jari jemarinya tetap ligat dan ‘jahat’ seperti kebiasaan.

Justeru bermuhasabahlah diri agar kita dapat menjadi manusia yang baik dan beramanah, jika tidak kepada negara sekali pun, setidaknya beramanahlah kepada diri sendiri.

Melawan virus COVID-19 ini bukanlah tugas seorang diri. Bukan tugas Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Dr. Adham Baba, Tan Sri Dr. Noor Hisham, Tengku Datuk Seri Zafrul atau rakyat marhaen macam kita semata-mata, tetapi tugasnya terletak kepada semua warga tanpa ‘gap’ darjat, pangkat, gred gaji, keturunan mahupun jawatan.

Selagi kita punya nyawa, akal fikiran dan budi, selagi itulah kita wajib mengambil alih fungsi ‘frontliner’ untuk memutuskan rantaian virus maut bernama COVID-19 ini.

Berhenti dari sebar berita tak benar tak kira di media sosial, apatah lagi di dunia nyata. Jangan kita budayakan berita tak sahih ini menyelinap ke budaya hidup rakyat kita, terutama di musim pandemik ini.

Tidak siapa nak hidup kita seperti pepatah Melayu berbunyi ‘sudah terjatuh ditimpa tangga’. Kita jaga kita!

PENAFIAN : Ini merupakan pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan kenyataan rasmi Portal Sepatah Dua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *