Pakej Kerja Dari Hotel Jadi ‘Trending’

Gara-gara kesan penularan wabak Covid-19 yang mengakibatkan industri pelancongan jatuh merudum, beberapa hotel di sekitar ibu negara dilihat mengambil pendekatan kreatif dan inovatif.

Pemilik hotel mula menawarkan pakej bekerja dari hotel untuk para pelanggannya yang mahu mendapatkan suasana kerja yang selesa dengan pelbagai kemudahan menarik yang percuma.

Selain itu, langkah kerajaan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu dan kini PKP Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang menyebabkan industri perhotelan semakin tertekan.

Bagi menarik pengunjung, persaingan menjadi sengit apabila ada hotel mengenakan bayaran serendah RM30 sehari bagi membolehkan pelanggan bekerja di hotel berkenaan bermula pukul 9 pagi hingga 7 petang.

Pelanggan juga boleh menikmati hidangan kopi tanpa had sepanjang hari dan hidangan makanan pula dengan diskaun sebanyak 30 peratus selain penginapan pada kadar yang sama.

Selain itu, hotel turut menyediakan perkhidmatan dengan capaian internet yang stabil serta suasana bilik yang kondusif.

Malah, pakej bekerja dari hotel turut membolehkan pelanggan meletak kereta secara percuma di samping akses percuma kepada seluruh fasiliti yang berada di situ.

Tidak ketinggalan Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre milik Permodalan Nasional Berhad yang diuruskan Attana Hotels & Resorts Sdn. Bhd.

Harga yang dikenakan untuk bekerja dari hotel itu bermula RM158 dengan pelbagai pakej menarik mengambil kira kedudukan di tengah kota dan berdekatan Menara Berkembar Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh menghubungi 03-74903333.

Sementara itu, pada Jun lalu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan melaporkan kerugian semasa yang dialami industri pelancongan dan budaya tahun ini dianggarkan mencecah RM45 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun 2020. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *