“Tak Perlu Tunggu Berada Di Posisi Lebih Baik Baru Nak Bersedekah” – Uncle Kentang

“Tak perlu tunggu untuk berada di posisi lebih baik baru nak bersedekah,” kata Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Beliau berkata, di dalam al-Quran sudah diceritakan kebaikan bersedekah cuma ramai yang dilihat tidak yakin untuk melakukannya.

Menurutnya, bersedekah boleh memberi keyakinan yang sangat tinggi, kesihatan mental yang baik, perasaan serta aura yang positif.

“Untuk bersedekah tidak semestinya dengan duit sahaja tetapi dengan doa, ucap kata-kata yang baik, beri senyuman, bantu dengan kudrat yang ada, itu pun sudah dikira sedekah.

“Jika ramai kata tak boleh bersedekah sebab duit tak ada, persepsi itu tidak tepat. Ini kerana semua orang sebenarnya mampu dan ada peluang untuk bersedekah walaupun bukan dengan wang ringgit,” katanya yang menjadi panelis Wacana Al-Quran Siri 7 bertajuk ‘Betul ke lagi susah, lagi perlu sedekah?’ yang berlangsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf.

Turut menjadi panelis, Pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy, Ustaz Mustafar Mohd Suki manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator dan qari jemputan yang memperdengarkan bacaan al -Quran, Ustaz Husaini Mahmur.

Dalam pada itu, Chee Heng berpendapat bersedekah juga tiada permulaan atau titik pengakhiran.

Katanya, susah mencari individu miskin untuk dibantu, sebaliknya perlu lebih berusaha untuk mencari golongan berkenaan.

“Jadi pada saya, apabila bertemu orang susah, saya anggap ia sudah ditakdirkan Tuhan untuk saya membantu tanpa memikirkan bila titik noktah untuk berhenti.

“Saya juga melihat apabila kita dipertemukan dengan orang susah, sebenarnya Tuhan bukan hendak menguji orang susah itu tapi hendak menguji kita sama ada kita mahu bantu atau tidak,” katanya.

Mengulas lanjut, Chee Heng berkata, sedekah atau amal kebaikan yang dilakukan untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan bukan untuk kemasyhuran tetapi percaya ia sebagai jaminan selepas meninggal dunia.

“Saya selalu lihat dari sudut mati kerana satu hari nanti kita semua akan mati dan ia pasti. Sebagai seorang yang belum Islam, apa yang akan saya bawa apabila dalam kubur nanti, sudah tentu amalan kebaikan yang sudah saya lakukan di dunia.

“Jadi selagi hidup, saya tolong dan sedekah kepada mereka yang memerlukan setakat termampu, ajak yang lain untuk bersama ‘menanam rumput dan bunga di kubur’ (lakukan kebaikan bersama agar diterima tuhan) dan saya tahu Tuhan mengetahui apa niat dalam hati kita,” katanya.

Tegasnya, apa yang penting jangan merugikan masa ketika hidup di dunia sebaliknya sentiasa berfikir untuk menghulurkan bantuan dan sedekah kepada mereka yang memerlukan setiap hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *