Kira-Kira 90,000 Sudah Hilang Pekerjaan Pada Tahun Ini
2 min read
Kira-kira 90,000 orang sudah pun hilang pekerjaan pada tahun ini, menurutu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Mohammad Azman Aziz berkata, ia menerima laporan mengenai 89,596 kes kehilangan pekerjaan setakat 22 Oktober yang lepas dengan purata hampir 10,000 kes setiap bulan.
“Ini menunjukkan terdapat peningkatan 278% berbanding 2019.
“Sekiranya trend ini berterusan, kes kehilangan pekerjaan dianggarkan berjumlah lebih dari 100,000 pada hujung 2020.
PERKESO juga telah melaksanakan pelbagai dasar pasaran tenaga kerja yang aktif untuk menstabilkan kadar pengangguran, termasuk Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) dan skim subsidi upah.
“Kita dapati angka itu mula meningkat pada Mei, apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), dan melonjak pada Julai ketika kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula. Trend mula stabil pada pertengahan Julai,” katanya seperti dilaporkan oleh Free Malaysia Today.
BACA JUGA – Pakej Kerja Dari Hotel Jadi ‘Trending’
Azman menyatakan sektor pembuatan adalah yang paling teruk terjejas, dengan mereka yang kehilangan pekerjaan sebanyak 20,492 kira-kira 23 peratus kes, diikuti industri penginapan, makanan dan minuman dengan 13,053 kes iaitu 15 peratus dan industri peruncitan dengan 12,450 kes iaitu 14 peratus.
Sebanyak 58 peratus kehilangan pekerjaan direkodkan di Lembah Klang, dengan Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing menyaksikan 27,619 dan 23,882 kes hilang pekerjaan. Pulau Pinang berada di kedudukan ke-3 tertinggi di negara ini, dengan 9,489 kes, atau 11 peratus dari jumlah keseluruhan itu.
“Dari segi pekerjaan, kategori profesional paling banyak terjejas, dengan 23,022 (26 peratus) kes, diikuti oleh pekerjaan juruteknik dengan 17,240 (19 peratus) dan jawatan pengurusan dengan 11,762 (13 peratus),” katanya.
Azman juga berkata, gelombang ke-3 jangkitan COVID-19 yang sedang berlaku ketika ini akan mengakibatkan ketidaktentuan yang besar dalam pasaran buruh.
“Sekiranya kita boleh elakkan penutupan sepenuhnya dan ekonomi pulih, Perkeso menjangkakan 20,000 hingga 25,000 kehilangan pekerjaan pada suku pertama 2021,” ujarnya.
Beliau berkata kadar pengangguran pada akhir tahun atau pada suku pertama tahun depan boleh mencapai antara 4 peratus hingga 4.5 peratus, walaupun angka berkenaan tidak pasti.
Walaupun kadar pengangguran pada masa ini berada pada 4.7 peratus, kadar penyertaan tenaga kerja secara perlahan meningkat berbanding dengan suku ke-2 tahun ini.
Beliau berkata salah satu faktor yang mempengaruhi kadar pengangguran Malaysia adalah campur tangan aktif kerajaan melalui program seperti Prihatin, Penjana dan Kita Prihatin.
PERKESO juga telah melaksanakan pelbagai dasar pasaran tenaga kerja yang aktif untuk menstabilkan kadar pengangguran, termasuk Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) dan skim subsidi upah.
Katanya, faktor lain yang mempengaruhi kadar pengangguran itu adalah kemampuan Malaysia untuk melawan penularan wabak Covid-19 sambil meneruskan aktiviti ekonomi.
“Kadar pengangguran dapat dikurangkan lagi jika graduan baru dan lepasan sekolah yang akan memasuki pasaran tenaga kerja tahun ini mengambil bahagian dalam program mempelajari kemahiran baru dan peningkatan kemahiran,” tambahnya. – Sepatah Dua