SOP PKPB Di Lembah Klang Mungkin Akan Diperketat Lagi

Prosedur operasi standard (SOP) bagi perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dijangka akan mula diperketatkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata ia mungkin diputuskan begitu semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

“MKN akan bentang apa perancangannya, mungkin boleh perketatkan bukan dengan menutup (banyak bisnes).

“Mungkin boleh buat penyesuaian dari segi masa (waktu perniagaan) sebagai contoh. Banyak lagi akan terjawab esok (hari ini),” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Kuala Lumpur semalam.

Ismail Sabri berkata demikian selepas ditanya adakah SOP PKPB perlu dikaji semula memandangkan kebanyakan kawasan yang dikenakan perintah itu di Selangor pada awalnya zon hijau kini namun bertukar merah kemudian.

Ahli parlimen Bera itu turut mengakui berlaku peningkatan kes baru Covid-19 malah di kawasan yang dilaksanakan PKPB.

“Seperti kita tahu, di kawasan PKPB, dari segi kebebasan macam tidak banyak beza kerana aktiviti berjalan seperti biasa,” katanya lagi.

Berdasarkan SOP PKPB, penduduk tidak dibenarkan merentas sempadan negeri melainkan atas urusan kerja selain jumlah maksimum orang dalam sesebuah kenderaan ialah dua orang kecuali dalam keadaan tertentu.

Kesemua institusi pendidikan, pusat hiburan dan rumah ibadat juga ditutup di kawasan PKPB.

Setakat semalam, PKPB dilaksanakan di seluruh Selangor (yang mencatatkan 1,640 kes baru sejak 14 hari lalu), Sabah (8,253 kes), Kuala Lumpur (174 kes), dan Putrajaya (23 kes).

PM: Kalau boleh SOP mirip ketika PKP

Dalam satu hantaran Facebook, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata dia telah mengarahkan MKN untuk menilai semula SOP berkenaan kegiatan sukan dan sosial.

Katanya, ia setelah mengambil kira peningkatan kes di Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Johor.

“Ya memang tindakan-tindakan yang diambil sebelum ini sedikit sebanyak telah dapat membantu untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19. Tetapi situasi sekarang memerlukan pendekatan mitigasi atau intervensi yang lebih cepat dan berkesan.

“Saya telah mengarahkan supaya MKN membuat penilaian semula ke atas SOP bagi aktiviti-aktiviti sosial dan sukan supaya dapat diperketatkan lagi bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. 

“Kalau boleh, perketatkan SOP-SOP tersebut seolah-olah menghampiri SOP PKP,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *