September 24, 2023

Jika Belanjawan 2021 ‘Dimanipulasi’, Risiko Besar Buat Negara, Rakyat

2 min read

Pemulihan ekonomi rakyat dan golongan peniaga yang terkesan akibat Covid-19 antara aspek utama perlu diberi tumpuan dan perhatian dalam Belanjawan 2021.

Pakar ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, sebahagian perniagaan sudah pulih, manakala segelintir pekerja mendapat pekerjaan, namun masih banyak aspek yang perlu diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya.

“Contohnya, peluang pekerjaan sedia ada juga berkemungkinan tidak sepadan dengan pekerjaan sebelum Covid-19 melanda ekonomi negara.

“Malah, kadar gaji dan upah yang ditawarkan juga tidak sepadan dengan pekerjaan terdahulu.

“Jadi, pada fasa pemulihan ini masih ramai dalam kalangan pekerja dan isi rumah yang memerlukan bantuan bagi memperbaiki keadaan ekonomi mereka, begitu juga dengan golongan peniaga,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, krisis ekonomi akibat Covid-19 memang memberi kesan sangat besar kepada ekonomi negara berbanding krisis ekonomi lain yang berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957 hingga menyaksikan kerajaan mengumumkan empat pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM305 bilion.

“Pada pengamatan saya, kadar pelaksanaan program yang dirangka itu masih di bawah paras 70 peratus bermakna program ini perlu diteruskan pada 2021 dan penambahbaikkan mungkin diperlukan.

“Perlu difahami, impak pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi hanya dapat dilihat selepas beberapa bulan pelaksanaannya kerana impak peruntukan kewangan yang diterima oleh peniaga dan isi rumah pada hari ini hanya dapat dinilai keberkesanannya selepas beberapa tempoh masa.

“Ini dinamakan lagging effects dalam istilah analisis ekonomi,” katanya.

Justeru itu menurut beliau, Belanjawan 2021 perlu disokong dan diluluskan bagi memastikan kelangsungan program dalam pakej rangsangan ekonomi 2020 dan penambahbaikkan boleh dilaksanakan.

“Hal ini bagi memastikan pemulihan ekonomi rakyat, peniaga dan negara berada pada landasan yang betul.

“Negara, peniaga dan rakyat akan menghadapi risiko jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan atau dimanipulasi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *