WHO Anggap Hapuskan Cerpelai Untuk Elak Risiko COVID

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap tindakan Denmark menghapuskan populasi mink atau cerpelai adalah bagi mengelak risiko penularan COVID-19 tercetus daripada haiwan itu.

Perkara itu dimaklumkan peneraju teknikal COVID-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Maria Van Kerkhove.

“Memang sering wujud kebimbangan apabila terdapat penyebaran dan penularan dari manusia ke haiwan dan kemudian, dari haiwan ke manusia.

“Kita telah menyaksikan keadaan ini selama beberapa bulan sekarang.

“Dan apa yang kami fahami adalah, cerpelai tersebut telah dijangkiti oleh kontak dari manusia dan ia merebak dalam kalangan cerpelai, dan ia kemudiannya boleh kembali balik ke manusia,” katanya dari ibu pejabat WHO di Geneva, Switzerland, pada Jumaat.

Menurut pakar kecemasan WHO, Mark Ryan, sektor yang menyelenggara haiwan ternakan seperti khinzir, ayam dan itik sudah melaksanakan langkah keselamatan bio yang ketat bagi mengekang jangkitan virus daripada berpindah dari satu spesis ke spesis yang lain.

Sebelum ini, Statens Serum Institut (SSI) Demark mengumumkan terdapat sebanyak 214 kes positif COVID-19 yang dilaporkan sejak Jun yang didapati melibatkan virus mutasi daripada mink.

Badan yang mengendalikan penyakit berjangkit itu membuat pengumuman itu di laman web rasmi yang dikemas kini pada Khamis.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Mette Frederiksen memaklumkan virus yang bermutasi di dalam mink dapat menimbulkan risiko dalam keberkesanan vaksin yang akan datang.

Bagaimanapun, mutasi COVID-19 itu hanya didapati telah menjangkiti 12 orang dan melibatkan lima ladang penternakan mink setakat ini.

Bagi mengawal penularan mutasi itu, kerajaan Denmark telah melaksanakan perintah berkurung di wilayah Jutland Utara, kawasan yang melibatkan 280,000 rakyat berkuatkuasa malam Khamis.

Pertemuan satu jenis mutasi virus SARS-CoV-2 melibatkan mink telah menyebabkan kerajaan Denmark memusnahkan 15 juta mink di seluruh negara.

Denmark merupakan pengeluar terbesar kulit mink di dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *