Jangan Risau, Bekalan Barang Cukup, Beli Seperti Biasa Dan Jangan Bersesak
2 min read
Disebabkan esok seluruh negeri di Semenanjung Malaysia akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis, orang ramai dah mula risau adakah barangan keperluan mencukupi.
Di beberapa tempat, sudah mula tular gambar orang ramai beratur di pasar raya untuk membeli barang keperluan.
Sebenarnya, mereka bukan membuat pembelian panik, tapi mereka membeli awal untuk elak keluar dari umah dengan kerap dan risau jika bekalan bahan untuk memasak seperti telur atau sayur kehabisan.
Menurut Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan menjamin bekalan barangan secara keseluruhan di seluruh negara cukup.
Jaminan itu diberikan selepas tinjauan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PKDNHEP) ke atas 12 jenis barangan di 681 kedai melibatkan 489 peruncit, 165 pemborong dan 27 pengilang.
“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga melakukan 1,382 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun hanya dua premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.
“Dalam tempoh PKPP, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai sentiasa mengamalkan kawalan kendiri, termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri, terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mengulas kerja sanitasi awam COVID-19, Ismail Sabri berkata sebanyak 11,209 operasi dijalankan merangkumi 137 zon, sejak 30 Mac lalu.
Beliau berkata, sebanyak 13,627 premis disanitasi terdiri 2,775 pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (1,633), tempat awam (2,690), pasar raya (354) dan bangunan kerajaan (6,175).
“Semalam, sebanyak 21 operasi sanitasi dilaksanakan membabitkan 10 negeri iaitu Sabah, Melaka, Selangor, Sarawak, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.
“Operasi ini membabitkan 127 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain 12 jentera milik JBPM,” katanya.