Betulkah Kita Perlu Minum 8 Gelas Air Sehari?

Kita semua pernah diberitahu agar minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari supaya badan berfungsi dengan optimum.

Ramai percaya nasihat itu sejak kecil lagi. Itu kerana badan kita mengandungi 60 peratus air, di mana kandungan itu terus berkurangan apabila melakukan aktiviti harian seperti bernafas, membuang air dan berpeluh.

Tetapi tahu atau tidak, nasihat “lapan gelas air sehari” sebenarnya adalah sekadar garis panduan dan tiada kajian saintifik yang menyokong kenyataan itu.

Sebaliknya, jika anda minum lebih banyak air berbanding apa yang badan anda perlukan, ia boleh mengundang masalah.

Fakta: Kita digalakkan untuk minum 2,000-2,500 mililiter sehari bergantung pada cuaca dan keadaan.

Mana datangnya “lapan gelas air sehari”?

Kenyataan itu datangnya daripada kajian oleh Majlis Penyelidikan Negara (NRC) Amerika Syarikat (AS) di bawah Lembaga Makanan dan Pemakanan pada tahun 1945.

Kajian itu mengatakan bahawa setiap individu harus minum sekurang-kurangnya satu milileter (ml) air bagi setiap kalori makanan yang diambil.

Rata-rata manusia mengambil sekitar 2,000 kalori sehari yang bersamaan dengan 2,000 ml atau lapan gelas air.

Tetapi, dalam kajian yang sama juga mengatakan kebanyakan kandungan air itu juga boleh diperolehi dari makanan.

Itu yang menyebabkan orang salah faham dan terus pegang teguh kepada mantra “lapan gelas air sehari”.

Dari mana kita boleh dapat kandungan air?

Air kosong bukan satu-satunya sumber air untuk manusia kerana kita boleh mendapatkan air dari minuman seperti jus, kopi atau minuman berkarbonat (diambil secara sederhana).

Air juga boleh didapati dari sumber makanan yang mengandungi kandungan air yang tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, atau juga dari makanan seperti ikan, daging dan telur yang turut mengandungi air.

Apa kebaikan minum lebih banyak air?

Sememangnya badan ini memerlukan air untuk berfungsi dan jika kita tidak minum air yang cukup, ia boleh mengundang kepada nyahhidrat atau dehydration yang memberi kesan sampingan seperti letih, pening kepala dan mood terganggu.

Tetapi, jumlah air yang diperlukan berbeza dan bergantung kepada setiap individu. Faktor yang membezakan jumlah air diperlukan termasuk faktor kesihatan, aktiviti senaman, mengandung dan menyusu atau faktor alam sekitar (panas atau sejuk).

Isu tertimbul jika seseorang minum lebih banyak air berbanding yang diperlukan dan jadinya kemabukan air atau hyponatremia.

Ini boleh terjadi apabila seseorang mengambil kandungan air terlalu tinggi sambil kandungan sodium di dalam badan berkurangan akibat aktiviti sukan yang ekstrem, yang boleh menyebabkan kematian.

Kesimpulannya, jika badan kita rasa haus, maksudnya ia perlukan air. Jangan tunggu sampai betul-betul dahaga baru nak minum air pula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *