Gangguan Air Kali Ketujuh, Rakyat Dah Tak Boleh Tahan

KIRA-KIRA 1.2 juta penduduk Lembah Klang sekali lagi mengalami gangguan bekalan air berskala mega susulan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang serta LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, dan 3 terpaksa dihenti tugas semalam berikutan pencemaran sumber air mentah.

Gangguan bekalan air itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Apa yang mendukacitakan, penutupan terbaharu empat loji kendalian syarikat Air Selangor Sdn Bhd itu adalah kali ketujuh tahun ini disebabkan masalah yang sama iaitu pencemaran sungai.

Gangguan bekalan air secara kecil-kecilan seperti paip pecah boleh dikatakan perkara biasa di negara ini. Berdasarkan Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Air 2019, gangguan bekalan air di Selangor sepanjang 2018 adalah sebanyak 11,074 atau purata 30 kes setiap hari.

Bagaimanapun, gangguan bekalan air berskala besar yang melibatkan jutaan penduduk Lembah Klang tidak sepatutnya berlarutan di sebuah negeri termaju di Malaysia.

Lebih malang, isu pencemaran sungai terus menjadi duri dalam daging yang menyeksa penduduk lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sekarang.

Setakat ini, dua pendakwaan berasingan ke atas beberapa pengurus dan pemilik kilang telah dibuat berhubung pembuangan sisa berbahaya ke dalam Sungai Gong yang merupakan anak Sungai Selangor di Rawang. Namun, nampaknya pencemaran terus terjadi.

Justeru, kerajaan tidak boleh berdiam diri mengenai kemungkinan terdapat lebih ramai lagi penjenayah alam sekitar di luar sana khususnya di sepanjang Sungai Selangor.

Pada masa sama, Air Selangor perlu bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memperbetul keadaan. Sebagai pengguna, penduduk sudah muak dan tidak mahu mendengar sebarang alasan lagi.

Pembekal sepatutnya sentiasa bersikap proaktif dan berusaha memastikan bekalan berkualiti berterusan demi memenuhi keperluan pelanggan.

Jika tidak, kerajaan negeri wajar menimbangkan insentif kepada pengguna yang terjejas termasuk memberi air percuma untuk tempoh tertentu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *